‘Tolong pulangkan susu itu’


shadow

PEMILIK lori yang terbalik dalam kemalangan di Cabang Tiga, Kampung Tawang, Bachok semalam merayu orang ramai memulangkan semula susu yang diambil.

Pemiliknya, Azizan Zainudin, 57, berkata, ketika kejadian dia berada di Klang, Selangor sebelum dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa anaknya, Mohd Baihaqi, 25, dan pekerjanya bernama Syafiq.

Katanya, mereka hanya mengambil upah menghantar bekalan susu tin itu dari Klang ke gudang di Pengkalan Chepa.

“Daripada 1,500 karton susu, anak dan pekerja hanya sempat ambil 149 karton dan 11 tin susu saja.

“Selebihnya diambil orang ramai dan dipercayai ada orang menyamar ‘taukeh’,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azizan berkata, dia terpaksa membayar kos kerugian RM120,000 selain anak dan kelindan lori mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Kalau malu, boleh hantar ke rumah saya di Kampung Pengkalan Haji Ali atau letak semula di tempat kemalangan.

“Setakat hari ini, dua penduduk kampung sudah hantar semula susu yang diambil dan saya harap yang lain segera berbuat demikian untuk memudahkan urusan saya dengan pemilik barangan itu,” katanya.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok semalam.

Akhbar hari ini melaporkan, orang ramai mengutip susu dari sebuah treler yang terbalik semalam.

Satu rakaman video berdurasi 34 saat memaparkan penduduk mengutip susu tular di Facebook dan WhatsApp yang mendapat lebih 34,000 tontonan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda