Tubuh pasukan petugas khas kaji kesan dinamik luar negara – Rafidah


shadow

hli Majlis Tindakan Ekonomi Negara Rafidah Aziz hari ini mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas yang menggabungkan pakar termasuk ahli akademik untuk memikirkan jauh ke depan dan merumuskan langkah awal untuk menangani dinamik luaran.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata kerajaan sepatutnya mengambil iktibar daripada pengalaman lepas termasuk krisis kewangan Asia 1997, inflasi dua angka pada 1970-an, peralihan pantas kepada perindustrian pada 1980-an dan krisis kewangan global 2008.

Ditanya sama ada ekonomi Malaysia telah dipelbagaikan secukupnya untuk menampan sebarang kesan, Rafidah berkata: “Jangan cakap tentang sudah dipelbagaikan secukupnya… maksud saya dalam apa juga langkah yang bermungkinan, siapa tahu ia mungkin melimpah ke bidang lain, kewangan dan lain-lainnya. Saya tidak berhak bercakap kerana saya belum lakukan kajian, tetapi anda ada pakar untuk melakukan ini, sepatutnya melakukannya. Mari lakukannya sekarang.”

“Tubuh pasukan petugas khas yang menggabungkan pakar termasuk ahli akademik misalnya, di mana anda mula memikirkan jauh ke depan, lebih awal.

“Itu yang saya ingin cadangkan. Kita tidak boleh sekadar ada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia atau Unit Perancang Ekonomi (EPU) bertindak secara bersendirian. Perlu ada strategi sepadu untuk masa depan dalam mendepani senario persekitaran tidak menentu dan tidak difahami,” katanya.

Rafidah berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucptama pada Siri 21 Wacana Perdana bertajuk “Faktor-Faktor Mengekang Kemajuan Ekonomi Malaysia dan Bagaimana Untuk Mengatasinya”, di Yayasan Kepimpinan Perdana here today.

Rafidah berkata pengajaran diperoleh Malaysia dari masa lalu perlu dirujuk sebagai satu cara ke hadapan, dan semua pembuat dasar profesional kini perlu mula memikirkan dan menganalisis kesan yang mungkin timbul daripada persekitaran luaran kerana ia juga akan memberi kesan kepada dasar-dasar baru negara serta strategi sektor perniagaan.

“Sebaik sahaja kita mampu menjangkakan hasil dan impak yang berkemungkinan, kita boleh mula berkolaborasi dengan pihak berkepentingan untuk melakukan apa yang diperlukan, dan ini memerlukan usaha bersama,” katanya.

Rafidah berkata tidak ada gunanya merangka pelan tindakan yang akan dikekang oleh dinamik luaran, memetik contoh perang tarif berlarutan antara Amerika Syarikat dan China, dengan negara perlu melihat kesannya bukan sahaja dari segi angka tetapi juga sektor mana yang boleh dijadikan strategi.

Ditanya tentang langkah-langkah luar jangka dalam Belanjawan 2020, Rafidah berkata: “Sudah tentu perlu ada. Ia bukan luar jangka, ia lebih awal, Anda tahu sekiranya ia berlaku, kami sudah bersedia. Kami pernah terperangkap dalam senario sedemikian pada masa lalu dan kami membuat persediaan ad hoc, tetapi persediaan ad hoc yang berhasil. “

Pada Isnin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Bajet 2020, yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober tahun ini, akan mempunyai langkah luar jangka sekiranya pertikaian perdagangan meruncing atau bertambah buruk.

Rafidah berkata Malaysia mempunyai asas untuk berdaya tahan terhadap sebarang cabaran dan masalah luaran kerana sudah mempunyai pengalaman di masa lalu dalam menangani krisis, dan sektor baru perlu dicetuskan untuk pertumbuhan ekonomi masa depan termasuk bersiap sedia untuk Revolusi Perindustrian Keempat bagi meletakkan Malaysia ke tahap trajektori lebih tinggi.

Beliau juga berkata pembuat dasar tidak boleh tunduk kepada tekanan tidak sepatutnya untuk mengubah dasar bagi memuaskan hati sesetengah kumpulan yang mempunyai motif selain daripada pembangunan negara.

“Ini bukan caranya untuk mentadbir negara ini. Anda bukan mentadbir untuk memuaskan hati kumpulan berdasarkan agama tetapi untuk memuaskan hati semua orang dan bukan sekelompok kecil,” katanya.

 Bernama

Tinggalkan komen anda