UKM: Pesalah simpan bahan porno kanak-kanak lanjut PHD sebab cemerlang


shadow

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) percaya “pendidikan boleh membantu transformasi individu dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri bagi mencapai kejayaan tertinggi dalam kehidupan.”

Makanya, Nur Fitri Azmeer Nordin yang didapati bersalah memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London kini diterima mengikuti program pasca siswazah doktor falsafah di institusi itu.

Menurut Pusat Komunikasi Korporat UKM, Nur Fitri dipilih kerana “keupayaan luar biasa dan kecemerlangannya dalam pengajian.”

“Berkenaan dengan pelajar, Nur Fitri Azmeer Nordin, beliau kini adalah pelajar UKM yang sedang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PHD).


“Beliau mula mendaftar sebagai pelajar UKM semenjak tahun 2016 lagi bagi program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

“Semasa pemilihan untuk menerima beliau, pelbagai pandangan telah diambilkira dan dinilai,” kata institusi itu dalam suatu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media sosial turut memperkatakan perkembangan Nur Fitri yang kini mengikuti pengajian di UKM.

Pemilik Twitter @_tuantanah berkicau: “Hati-hati warga Bangi ‘mamat pedophile’ yang kena tangkap di London tapi dibawa balik sebab “genius” tu ada di UKM nun.”

Ciapannya berkenaan bekas penuntut jurusan Matematik di London, United Kingdom yang pernah ditaja Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu turut mendapat hampir 14,000 kongsi dan 6,800 suka.

Pada Mei 2015, Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Dia didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah pornografi kanak-kanak, termasuk 601 imej “Kategori A” yang menggambarkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Nur Fitri kemudian menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sebelum kerajaan Malaysia membawanya pulang.

Bagaimanapun, UKM hari ini berkata semenjak belajar di kampus pengajian itu, Nur Fitri tidak menunjukkan perlakuan yang mencurigakan.

“UKM juga jelas dan faham dengan sabitan kesalahan serta hukuman lepas yang telah dikenakan kepada beliau sebelum ini.

“Sepanjang pengajiannya di sini, beliau amat komited dalam pengajian dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan.

“UKM juga tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai beliau sepanjang pengajian di UKM,” jelas kenyataan itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda