Undi18 gesa k’jaan lindungi pemohon kerja dari diskriminasi


shadow

Sekumpulan aktivis muda tidak bersetuju dengan langkah kerajaan mengecualikan pemohon kerja dalam pindaan Akta Kerja 1955.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Persatuan Pengundi Muda (Undi18) berkata satu daripada cabaran utama yang dihadapi pemohon kerja adalah diskriminasi semasa ditemu duga.

“Telah menjadi lumrah untuk melihat “Chinese preferred” atau Bumiputera sahaja” tertulis sebagai kriteria semasa sedang memohon kerja.

“Menurut kaji selidik WAO, kira-kira 40 peratus wanita yang ditinjau melaporkan mereka disoal oleh penemu duga sama ada mereka sedang mengandung atau merancang untuk mengandung,”

“Diskriminasi kepada pemohon kerja adalah isu berat yang memberi kesan kepada beribu-ribu rakyat Malaysia setiap tahun,” kata kenyataan tersebut.

Justeru itu, Undi18 berkata kerajaan sepatutnya mengambil langkah positif bagi memastikan pemohon kerja dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi.

“Kami berharap Kementerian Sumber Manusia akan membuat keputusan yang tepat dengan memasukkan kembali perlindungan untuk pemohon kerja di dalam cadangan pindaan Akta Kerja 1955,” katanya.

Pada September 2018, kerajaan bercadang memasukkan peruntukan untuk melindungi pemohon kerja daripada diskriminasi atas faktor kehamilan, status perkahwinan, jantina, bangsa, agama, kelainan upaya dan bahasa.

Bagaimanapun pada 14 Ogos, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mendakwa kementerian bercadang mengecualikan pemohon kerja daripada peruntukan berkenaan.

Justeru WAO meminta kementerian mempertimbangkan semula keputusan itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda