USM nafi tolak tangguh pengajian


shadow

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) menafikan menolak permohonan daripada seorang penuntut untuk menangguhkan pengajian berikutan tidak mempunyai wang bagi membayar yuran pengajian bulan hadapan.

Naib Canselor USM, Prof Dr Asma Ismail berkata, universiti menerusi Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu sebelum laporan akhbar diterbitkan.

Katanya, universiti juga sudah dimaklumkan oleh penuntut itu, Muhamaad Izzat Amran Ibrahim, 20, bahawa dia menerima bantuan untuk membayar yuran pengajian daripada beberapa pihak.

“Penuntut itu juga menerima tawaran (USM) dan akan mendaftar pada hari pendaftaran.

“Sebagai universiti yang mempelopori pengajian sepanjang hayat di negara ini, USM bersedia dengan pelbagai mekanisme supaya hasrat untuk melanjutkan pengajian kepada rakyat di negara ini dapat direalisasikan,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, bagi USM, pendidikan adalah mekanisme penting ke arah penyatuan dan kemajuan negara.

Katanya, pihak universiti menyediakan kemudahan bantuan untuk bakal penuntut dan penuntut sedia ada yang berhadapan kekangan kewangan.

Ia termasuk bantuan yang disalurkan menerusi Pejabat Zakat Wakaf dan Infaq serta Yayasan USM.

Harian Metro hari ini melaporkan penuntut dari Kampung Limau Kasturi, Gua Musang buntu memikirkan perbelanjaan bagi melanjutkan pengajian ke USM Pulau Pinang bulan hadapan kerana kesempitan hidup.

Muhamaad Izzat Amran berkata, untuk pendaftaran Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan), dia memerlukan RM1,400, namun tidak mampu berbuat demikian.

Mengulas lanjut Asma berkata, penuntut yang terjejas boleh menghubungi Unit Pengambilan Pelajar USM menerusi talian: 1300888876/04-653319604 atau menerusi emel admissions@usm.my.

-myMetro

Tinggalkan komen anda