Visi lahir graduan taraf global


shadow

SERING kita dibentangkan dengan usahawan wanita yang menceburi perniagaan kosmetik mahupun fesyen. Jarang yang mahu mencuba bidang pendidikan terutama apabila membabitkan institusi pengajian tinggi.

Namun berbeza bagi Rosnizah Shaari apabila dia sanggup berhadapan kesukaran bagi memastikan matlamat membina empayar pendidikan di bawah jenama City University Malaysia menjadi kenyataan.

Melihat bangunan tersergam indah, terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur, dengan hampir 5,000 pelajar pelbagai kaum dan hampir 400 kakitangan sudah tentu ia menerbitkan rasa bangga kerana ia diuruskan anak Melayu.

Pengasas universiti ini anak jati Melayu Kelantan, seorang wanita yang cekal, bekerja keras dan mempunyai visi iaitu Datin Rohaidah Shaari yang juga kakak kepada Rosnizah Shaari.

Kata Rosnizah, untuk membina nama menjadi sebuah universiti yang diiktiraf, bukanlah sesuatu yang mudah. Ia dibangunkan bersama pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit dan juga air mata bagi memastikan apa yang dirancang menjadi kenyataan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk terbabit dalam bidang pendidikan memandangkan saya graduan berlainan bidang iaitu Ijazah Sarjana Pemasaran dan Pengurusan dari Edith Cowan University, Australia,” katanya.

Pada 2003 dia mula berkhidmat di bahagian pentadbiran universiti dan melihat sendiri bagaimana kampus yang dulunya kecil semakin berkembang.

ROSNIZAH bersama rakan bangga menyumbang tenaga dalam bidang pendidikan.

“Keyakinan ibu bapa dan pelajar menyebabkan pelbagai program ditambah termasuk prauniversiti, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah,” sambungnya.

Berkat kegigihan dan kesabaran City University Malaysia yang dulunya dikenali sebagai City University College of Science and Technology diiktiraf sebagai universiti penuh pada November 2016.

Walaupun terpaksa melalui perjalanan yang panjang dan mencabar bagi memastikan pusat pengajian itu setanding dengan institusi awam dan swasta lain di Malaysia, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka untuk terus mencuba.

“Ada kala kertas kerja ditolak dan kami terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menguruskan sesuatu perkara. Dalam tempoh ini kami perlu turun naik Agensi Akreditasi Malaysia (MQA), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan badan berkaitan untuk kelancaran program yang ditawarkan bagi mengikuti syarat piawaian ditetapkan,” katanya.

KELUARGA JADI INSPIRASI

Mempunyai lapan beradik, Rosnizah mempunyai karakter yang tegas, matang dan berkeyakinan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Namun di sebalik raut wajah lembut dan penuh keibuan, wanita ini sangat berdisiplin dan menitikberatkan ketepatan masa. Baginya kekuatan dan semangat datang daripada kakaknya.

“Pernah saya menangis ketika menguruskan dokumentasi. Kakak memberikan semangat dan mengatakan ini adalah proses pembelajaran. Sampai satu masa semua proses dapat dilalui dengan mudah,” katanya terharu.

Berperanan sebagai pendaftar di universiti, Roznizah mengakui tugasnya adalah memastikan pelajar terus memberi kepercayaan untuk menjadikan universiti pilihan pertama mereka.

Untuk itu sebagai universiti yang 100 peratus dikendalikan Bumiputera cabarannya adalah memastikan 99 peratus pelajar yang menamatkan pengajian di situ mendapat pekerjaan selepas graduasi.

“Kami juga menetapkan matlamat untuk melahirkan pelajar berkemahiran sesuai aspirasi dan kehendak negara,” jelas ibu kepada sepasang bayi kembar berusia enam bulan.

Pada masa akan datang dia berharap dapat membuka beberapa cawangan universiti di negeri lain.

“Selain itu kami juga ingin melahirkan graduan bertaraf antarabangsa dengan penubuhan universiti ini di luar negara seperti di China, Timur Tengah dan Vietnam,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian doktor falsafah dalam bidang pendidikan.

Ketika ditanya bagaimana dia mampu membahagikan masa di antara kerjaya, pengajian, isteri dan ibu, sambil tersenyum wanita ini menjelaskan dia bersyukur kerana keluarga sangat memberikan sokongan menjaga anak kembar ketika dia memerlukan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda