Wujud 2 syif di klinik kerajaan, atasi kesesakan di hospital, kata MMA


shadow

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan pengenalan sistem 2 syif di klinik kerajaan dengan berkata, ia boleh membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan di hospital utama.

Presiden MMA Dr N Ganabaskaran berkata, dengan kewujudan 2 kumpulan doktor dan jururawat yang bekerja syif, klinik akan dapat meningkatkan kecekapannya dan boleh menarik pesakit yang biasanya cenderung untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (EDT) di hospital utama.

Beliau merujuk kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan di ETD walaupun keadaan kesihatan yang mereka hadapi tidak dikategorikan sebagai kes kecemasan.

Pesakit sedemikian ditempatkan di “zon hijau” dan perlu menunggu lebih lama sebelum diberikan rawatan. Laporan terbaru menyebut kehadiran pesakit sedemikian di ETD merupakan salah satu sebab ketidakcekapan di hospital utama di Lembah Klang.

Ganabaskaran memberitahu FMT, kewujudan 2 syif di klinik kerajaan akan mengurangkan keletihan dalam kalangan doktor dan jururawat, justeru mempercepatkan perkhidmatan yang diberikan.

Pada masa ini kebanyakan klinik beroperasi selama kira-kira 15 jam dengan kehadiran seorang doktor. Sistem syif diamalkan di klinik 24 jam, tetapi ia mewakili hanya 7% daripada klinik kerajaan di seluruh negara.

Ganabaskaran berkata, penambahan jumlah doktor dan kakitangan perubatan lain di ETD tidak banyak membantu kerana ketidakcukupan bilik untuk konsultasi.

Katanya, penyediaan teknologi dan peralatan lebih baik boleh meningkatkan kecekapan dan kepantasan kerja di ETD.

“Sudah pasti peralatan lama di hospital kita perlu dikemas kini,” kata beliau.

Beliau juga menggesa proses rujukan yang diamalkan diperbaiki dan mencadangkan diwujudkan sistem perkongsian rekod bersepadu antara pengamal perubatan persendirian dengan hospital serta klinik kerajaan.

Bagaimanapun beliau mengakui cadangan itu harus menangani isu kebimbangan awam berkaitan perkongsian maklumat sulit pesakit.

Ganabaskaran juga mahu keadaan bekerja lebih baik bagi doktor dan jururawat yang bertugas di klinik luar bandar.

“Tawarkan ganjaran lebih tinggi dan faedah pekerjaan lebih baik kepada mereka dan keluarga,” katanya.

“Doktor dan petugas kesihatan yang berkhidmat di sana berkorban bagi manfaat orang ramai. Kita harus faham bahawa peluang mereka untuk memajukan kerjaya dan pembangunan sosial berkurang.”

Beliau berkata, wujud juga keperluan untuk memastikan berlakunya giliran kerja yang adil bagi kakitangan yang bertugas di tempat sedemikian.-FMT

Tinggalkan komen anda