Yeo: Tiada permohonan rasmi dari Lynas


shadow

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin, bekata kementeriannya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) berkaitan pembinaan tapak pelupusan tetap (PDF) syarikat berkenaan.

“Tiada sebarang permohonan rasmi,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Lynas yang berkata mengenai isu PDF, yang merupakan sebahagian daripada syarat pelanjutan lesen operasi kilang tersebut.

Yeo turut memberitahu, Mestecc tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung kenyataan menteri besar Pahang yang mengesahkan bahawa kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan rasmi secara spesifik berkaitan lokasi PDF bagi sisa water leach purification (WLP) yang dikatakan akan dibangunkan di Pahang.

“Kamu perlu tanya MB Pahang,” katanya ketika menjawab soalan pemberita di majlis pelancaran pemasangan lampu jalan kampung (LJK) jenis LED di Kampung Rinching Hilir, Hulu Langat, Selangor hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dipetik sebagai berkata setakat ini kerajaan negeri itu tidak pernah berbincang dengan Lynas mengenai isu PDF.

“Jika ada perbincangan atau permohonan sekali pun, sudah pasti kerajaan negeri akan beri keutamaan kepada keselamatan rakyat. Itu kita amat jelas. Kita tidak akan buat semberono, dalam isu keselamatan rakyat,” katanya.

Untuk rekod, sebuah akhbar sebelum ini mendakwa lima lokasi di Pahang dikenal pasti sebagai tempat berpotensi dibangunkan PDF iaitu Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini.

Sementara itu, Yeo mengatakan kerajaan menghormati hak orang ramai bersuara dalam isu membabitkan kerajaan, termasuk Lynas.

“Kita menghormati hak untuk bersuara untuk golongan yang memberi pandangan terhadap keputusan-keputusan kerajaan,” katanya.

Semalam kira-kira 500 peserta perhimpunan anti-Lynas berhimpun di Taman Gelora, Kuantan, bagi membantah keputusan kerajaan melanjutkan lesen kilang pemprosesan nadir bumi itu.

Lynas berasal dari Australia dan kini beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng merupakan pelaburan yang dibawa masuk kerajaan terdahulu menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda