Yew Yin kesal singgung, hina anggota tentera


shadow

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Koon Yew Yin memohon maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan kenyataannya sebelum ini yang menyinggung dan menghina anggota tentera.

Melalui surat permohonan maafnya yang ditulis beberapa hari lalu, beliau mengakui kesilapannya kerana mengeluarkan kenyataan bahawa anggota tentera hanya makan dan tidur.

Menurut laporan sebuah portal berita, Yew Yin turut menyatakan kekesalannya kerana menggunakan perkataan yang berunsurkan penghinaan ketika beliau mencadangkan agar anggota tentera membantu kerja-kerja ladang di FELDA.

“Saya sudah menulis surat meminta maaf kepada anggota tentera di atas kesilapan saya. Saya kesal kerana menggunakan perkataan yang menghina ketika meminta anggota tentera yang merupakan bahagian terbesar dalam perkhidmatan awam supaya membantu FELDA.

“Tiada niat saya untuk menghina sesiapa. Saya meminta maaf di atas kesilapan saya. Saya benar-benar menghargai pengorbanan dan sumbangan anggota tentera kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Yew Yin melalui satu tulisan dalam blognya bertajuk `Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita’ anyara lain menyifatkan anggota tentera di negara hanya makan dan tidur.

Malah, melalui tulisan itu juga, beliau mendakwa anggota tentera terbabit tidak pernah menembak dan mencadangkan supaya anggota tentera dihantar bertugas di ladang FELDA, hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, beliau dilaporkan sudah meminta maaf kepada anggota ATM di atas kenyataan itu dengan menyifatkan mungkin caranya ketika mengemukakan cadangan mengenai pengurangan kakitangan awam terutama anggota tentera tidak disukai oleh sesetengah pihak.-BH

Tinggalkan komen anda