Zaid: Guna waktu sendiri jika mahu belajar tulisan Jawi


shadow

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata waktu yang terhad di sekolah sewajarnya digunakan untuk belajar pengetahuan yang praktikal. 

“Ada banyak perkara yang perlu dipelajari oleh pelajar, begitu banyak cabang pengetahuan untuk dikejar, tetapi kenapa mahu laksana (perkenal tulisan Jawi)?

“Kita mempunyai waktu terhad di sekolah, lebih baik kita gunakan untuk mempelajari perkara-perkara yang praktikal. Gunakan waktu dan wang sendiri untuk belajar seni khat dan hal-hal keindahan lain di dunia ini, ” katanya kepada Malaysiakini.

Zaid berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbahasan berterusan mengenai keputusan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan enam muka surat berkaitan seni khat dan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Darjah 4.Iklan

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata langkah itu bukan bertujuan untuk “mewujudkan Islamisasi di sekolah-sekolah vernakular.”

Selain memupuk gaya penulisan yang indah, menteri juga berkata pengenalan seni khat akan membolehkan pelajar mengenali warisan dan identiti negara.

Ditanya mengenai rasional menteri untuk memperkenalkan seni khat, Zaid menjawab: “Menteri-menteri di Pakatan Harapan suka menunjukkan mereka lebih baik, kononnya patriotisme, dan (suka menunjuk) keutamaan budaya mereka.

“Dan mereka suka menunjukkan kuasa, itulah sebabnya mereka mahu memperkenalkan (seni khat dan tulisan jawi). Sikit pun mereka tak sedar bahawa perkara yang mereka ambil tidak benar-benar mendapat sambutan, kecuali secara dangkal,” tambahnya.

Dalam kiriman Twitter sebelum itu, Zaid, yang merupakan ahli DAP, berkata pengenalan seni khat atau sebarang bentuk kaligrafi di sekolah ibarat “meminta pelajar Itali mempelajari bahasa Latin.”

Sabtu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa pengenalan seni khat dan tulisan Jawi akan diteruskan seperti yang dirancang.

“Kita tidak pernah membantah tulisan-tulisan lain (termasuk) dalam bahasa Cina, kerana ini adalah sesuatu yang istimewa di negara kita.

“Tulisan bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain seperti Indonesia, misalnya, (dan) di Filipina dan Thailand, mereka menggunakan tulisan mereka sendiri,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata hanya segelintir masyarakat yang menentang keputusan kerajaan itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda