Zakir Naik hadir Bukit Aman kali kedua


shadow

Penceramah bebas Dr Zakir Naik hadir di Bukit Aman kali kedua petang ini untuk diambil keterangannya.

Pada 16 Ogos lalu, Zakir memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Terdahulu, Bernama memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed yang memaklumkan bahawa pendakwa kontroversi itu akan diambil keterangannya hari ini mengikut seksyen sama.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 3 Ogos lepas dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini.

Zakir bagaimanapun berkata kenyataannya dipetik di luar konteks.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda