Zakir sepatutnya tidak ceramah politik – Dr Mahathir


shadow

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penceramah bebas, Dr Zakir Naik, sepatutnya tidak berceramah berkaitan politik, sebaliknya menumpukan kepada agama.

Perdana Menteri berkata, rakyat negara ini sangat berhati-hati bercakap mengenai perkara yang sensitif mengenai masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, beliau sendiri tidak pernah meminta orang Cina dan India untuk kembali ke negara asal, tetapi penceramah berkenaan datang ke negara kita dan meminta mereka kembali.

Beliau berkata, Zakir sekarang dilaporkan membangkitkan sentimen perkauman yang dibimbangi boleh menimbulkan perkara buruk.

“Saya fikir polis perlu menyiasat, sama ada (tindakan Zakir) menyebabkan ketegangan. Amat jelas beliau berbuat demikian.

“Apa juga tindakan kita ambil akan mengikut undang-undang. Kerajaan menghormati kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa (ISI) di Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, hari ini.

Kontroversi terkini membabitkan Zakir yang dikatakan mendakwa adalah malang kerana masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir.

Zakir juga didakwa membandingkan nasib masyarakat beragama Hindu di Malaysia yang menikmati hak sepenuhnya berbanding orang Islam di India.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak menghalang Zakir berdakwah, ceramah agama dan perkara yang betul.

“Kami tidak mahu menghentikan (ceramah agama) Zakir. Saya tidak tahu siapa beri beliau penduduk tetap (PR), tetapi agak jelas beliau dilihat mahu mengambil bahagian dalam politik perkauman di negara ini,” katanya.-BH

Tinggalkan komen anda