Azmin: Mesyuarat khas kabinet bincang dasar jangka panjang ekonomi


shadow

Mesyuarat khas kabinet yang akan diadakan pada Sabtu ini akan membincangkan hala tuju dasar jangka panjang ekonomi negara, maklum Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat khas jemaah menteri pada Sabtu, 14 September 2019 bagi membincangkan dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara,” katanya dalam suatu kenyataan.

Beliau berkata demikian di tengah-tengah spekulasi kabinet bakal memutuskan polisi berkaitan Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira waktu yang dipilih dua hari sebelum sambutan Hari Malaysia.

Menurut Azmin, mesyuarat itu akan membincangkan “Wawasan Kemakmuran Bersama” yang diumumkan perdana menteri ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober tahun lalu serta sewaktu berucap dalam majlis sambutan ulang tahun pertama PH pada 9 Mei tahun ini.

“Wawasan baru ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia bagi menjamin ianya terus berkembang dengan mampan dan memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat.

“Hasrat wawasan ini adalah agar seluruh rakyat Malaysia mengecapi taraf hidup wajar atau keadaan hidup yang memuaskan (a decent standard of living) menjelang tahun 2030,” katanya.

Wawasan ini, kata Azmin lagi akan meliputi belanjawan bagi tempoh RMK12 dan RMK13.

“Bajet 2020 yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober kelak merupakan satu belanjawan persiapan supaya semua pihak dapat bersedia untuk meluru maju apabila inisiatif RMK 12 dimulakan pada tahun 2021.

“Tempoh 10 tahun yang disasarkan bagi merealisasikan wawasan ini memerlukan kerjasama strategik dan peranan bukan sahaja Kerajaan, tetapi semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, sektor swasta dan syarikat berkaitan Kerajaan, akademia, pertubuhan bukan Kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia amnya,” jelasnya.

Perdana menteri ketika membentangkan kajian separuh penggal RMK11 berikrar untuk membina Malaysia yang lebih inklusif, termasuk Sabah dan Sarawak

“Satu Jawatankuasa Khas Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji semula serta memantau pelaksanaan yang wajar bagi Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Mahathir juga berkata kerajaan melalui pelaksanaan baki tempoh RMK11 juga akan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik luar bandar di Sabah dan Sarawak bagi kemakmuran rakyat di negeri itu.

Menurut perdana menteri, PH sebagai kerajaan prihatin yang berhasrat mewujudkan masyarakat saksama akan berusaha memperkasa kumpulan minoriti menerusi program khusus yang akan dilaksanakan bagi suku kaum Sabah dan Sarawak termasuk orang asli di kawasan luar bandar serta pedalaman.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda