Banduan rakam video dalam penjara dakwa tidak bersalah


shadow

KOTA BHARU: Seorang banduan lelaki yang dikatakan sedang menunggu hukuman gantung di Pengkalan Chepa di sini, merakam video dengan mendakwa dirinya tidak bersalah dalam kes membunuh, sehingga menjadi viral dalam media sosial sejak semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu memaklumkan dia dipenjara sejak berusia 19 tahun atas dakwaan membunuh, namun sehingga sekarang tidak mengetahui bila hukuman akan dijalankan.

Katanya menerusi rakaman berdurasi empat minit 24 saat itu, dia membuat video berkenaan kerana mahu rakyat Malaysia membantu memandangkan dirinya tidak bersalah dan tidak membunuh seperti didakwa.

“Saya tunggu nak jalankan hukuman gantung. Sekarang empat orang termasuk saya tunggu hukuman gantung yang tak tahu bila akan dijalankan.

“Sekarang saya dapat satu peluang ini saja (rakam video) kerana saya cakap sebelum ini tidak laku. Masa kena tangkap saya umur 19 tahun iaitu pada 2002 dan sekarang umur saya 37 tahun.

“Masa itu saya tidak tahu mana baik dan mana tidak baik, namun saya tidak bunuh. Masa kejadian memang saya ada (di lokasi).

“Sumpah demi Allah saya dan tangan ini tak bunuh tetapi saya pula kena tanggung. Saya minta tolong rakyat Malaysia dan orang awam supaya ‘share’ video ini. Saya harap mereka dapat ulang kaji balik kes saya,” katanya dalam rakaman itu.

Katanya, rakaman yang dibuat pada jam 8.30 pagi pada 2 September lalu itu adalah jalan terakhir buatnya.

“Saya minta tolong dan minta ampun kerana saya pun ada perasaan. Manusia tidak lepas daripada buat kesilapan.

“Saya harap orang awam dan kerajaan tahu kes ini kerana saya tidak bersalah tetapi perlu jalani hukuman penjara,” katanya.

Sementara itu, usaha BH untuk meminta kenyataan daripada Pengarah Penjara Kelantan, Timbalan Komisioner Penjara Hamzani Che Ibrahim tidak berhasil.

Sumber penjara Pengkalan Chepa berkata, mereka diarahkan oleh ibu pejabat supaya tidak memberi sebarang kenyataan termasuk daripada Pengarah kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Tinggalkan komen anda