Bayi dilahirkan oleh ibu mati otak


shadow

PRAGUE: Seorang bayi perempuan dilahirkan dalam keadaan sihat oleh ibu yang mati otaknya selama hampir empat bulan di Republik Czech.

Bayi itu dilahirkan secara pembedahan caesarean dalam minggu kehamilan ke-34 pada bulan lalu, selepas 117 hari ibunya diisytiharkan mati otak, kata doktor di Hospital Universiti di Brno, Czech dalam satu sidang akhbar.

“Dengan berat 2.13 kilogram, bayi itu adalah salah seorang bayi paling berat dan matang dilahirkan oleh ibu yang mati otak,” kata ketua ‘anaesthesiologist’ hospital, Roman Gal.

Ibu itu diisytiharkan mati otak selepas mengalami pendarahan pada April lalu ketika hamil 16 minggu.

Doktor memastikan jantung, paru-paru, buah pinggang dan organ lain wanita itu stabil semasa memantau janin.

Jururawat bercakap kepada janin manakala neneknya membacakan buku dongeng sambil ahli terapi menggerakkan kaki si ibu seolah-olah sedang berjalan kaki, kata Gal.

Sistem sokongan hayat ibu dimatikan selepas melahirkan anak.

Bayi itu kini disusui ibu saudaranya yang juga mempunyai seorang anak masih bayi.

Dalam kes sama di Portugal, seorang bayi lelaki dilahirkan oleh ibu yang mati otak pada 2016.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda