Ingat mati dalam terowong sempit


shadow

SEDAR tak sedar, tahun ini menjadi tahun kelima penyanyi, komposer dan pelakon, Mark Adam berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.

Tahun ini juga menjadi tahun bertuah buatnya apabila filem pertama lakonannya, Hero: Jangan Bikin Panas bakal ditayangkan bermula 3 Oktober ini.

Bagi Mark, ini satu lagi permulaan baharu kerjayanya dalam bidang lakonan.

“Sebagai pelakon baharu, ini penantian yang mengujakan saya. Ini filem pertama lakonan saya dan karya pertama yang dilakonkan sebagai anggota beruniform iaitu pegawai bomba dan penyelamat,” katanya.

Berkongsi pengalamannya menjalani penggambaran filem berkenaan, Mark berkata, ia pengalaman berharga yang tidak mungkin akan dirasakannya jika tidak terbabit dalam filem ini.

“Ia pengalaman berbeza dan saya sendiri pun tak pernah terfikir akan berpeluang merasai sendiri pengalaman sebagai anggota bomba dan penyelamat.

“Memegang peranan sebagai Adam Fininfinali, ia satu pengalaman unik apabila saya dan pelakon lain menjalani penggambaran selama kira-kira sebulan di balai bomba di samping anggota bomba,” katanya.

Menurut Mark, banyak ilmu mengenai bomba diperolehnya sepanjang menjalani penggambaran filem itu.

“Sebelum ini, saya cuma lihat dari luar dan apabila bergaul dengan mereka, barulah saya faham tanggungjawab anggota bomba dan penyelamat. Yang pasti, tugas mereka bukan mudah,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran terbesar tatkala menjalani penggambaran filem Hero: Jangan Bikin Panas, Mark berkata, ada beberapa cabaran besar ketika sesi latihan berlangsung.

“Sebelum masuk ke set, kami diberi latihan selama sebulan untuk membiasakan diri dengan lokasi serta tugasan sebagai anggota bomba dan penyelamat.

“Dalam latihan, banyak cabaran yang saya sendiri lalui. Paling mencabar apabila kami perlu masuk ke dalam satu terowong sempit membawa peralatan seperti gas oksigen.

“Ketika berada di dalam terowong sempit itu, saya terfikir adakah akan mati di tempat ini? Jadi, mahu atau tidak, saya perlu berusaha untuk keluar di satu pintu keluar yang ditetapkan dalam tugasan itu,” katanya.

Bercerita mengenai watak sebagai Adam Finifinali, Mark berkata, ia watak komedi, tetapi ada beberapa babak aksi yang perlu dilakukannya.

“Adam bekas peninju muay thai yang bertarung secara ‘underground’. Jadi, selepas berlaku satu insiden, dia melarikan diri dari kampungnya dan mencuba nasib menjadi anggota bomba.

“Watak ini ada elemen komedi dan pada masa sama, ada beberapa babak aksi perlu saya lakukan. Jadi, dalam filem ini, penonton akan dapat melihat saya melakukan beberapa aksi pertarungan buat pertama kalinya,” katanya.

Selain Mark, Hero: Jangan Bikin Panas juga dibintangi pelakon hebat termasuk Hisyam Hamid, Tash Yong dan Bell Ngasri.

Selain filem ini, tahun lalu juga Mark menjalani penggambaran untuk dua filem lain iaitu Bikin Filem dan 7 Hari.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda