Kes saman fitnah menteri terhadap Jamal mungkin selesai cara baik


shadow

Kes saman fitnah Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) mungkin diselesaikan secara baik.

Peguam Mohammed Nasser Yusof yang mewakili Jamal memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan meneliti syarat-syarat penyelesaian yang ditawarkan plaintif (Yeo) pada 3 Sept lalu.

“Sekiranya ada penyelesaian kita (defendan) akan tulis surat kepada mahkamah (untuk tindakan lanjut) namun sekiranya gagal, perbicaraan akan didengar pada 5 dan 6 Mac serta 20 dan 21 April tahun depan,” katanya selepas pengurusan kes saman itu di dalam kamar Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad hari ini.

Pada 14 Jun 2017, Yeo memfailkan saman itu terhadap Jamal selaku defendan bagi menuntut ganti rugi RM5 juta atas dakwaan defendan mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah terhadap plaintif berhubung penyalahgunaan dana YAWAS.

Dalam pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bakri, Johor itu mendakwa pihak defendan telah mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan tersebut telah disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita serta turut diterbitkan dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seseorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, plaintif turut memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi pernyataan tersebut.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi lain menetapkan 10 Okt untuk pengurusan kes saman Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok terhadap Jamal yang didakwa memfitnahnya berhubung dana YAWAS.

Perkara itu dimaklumkan oleh Mohammed Nasser kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Ahmad Bache hari ini.

Pada 6 April 2017, Kok memfailkan saman terhadap Jamal berhubung dakwaan Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam penyataan tuntutan itu, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk di laman sosial Facebook milik Jamal.

Ahli Parlimen Seputeh itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injuksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.

– Bernama

Tinggalkan komen anda