Menteri elak jawab soalan program sarapan percuma sekolah


shadow

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik seakan-akan mengelak soalan pemberita apabila ditanya mengenai perkembangan terbaru program sarapan percuma khas untuk semua murid di sekolah rendah, yang diumumkan pada bulan lalu.

“Ni banyak sangat (soalan) saya tak tahu nak jawab mana satu,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan program tersebut, bila ia akan dimulakan dan berapakah kos bagi setiap orang murid yang akan dibelanjakan oleh kementerian itu nanti.

Beliau berkata demikian selepas program townhall “Let’s Gather with YB Menteri Pendidikan Malaysia 2019” UiTM Kampus Puncak Alam, Kuala Selangor hari ini.

Sebelum ini Presiden MCA Wee Ka Siong turut mempersoalkan kewajaran program sarapan percuma khas itu yang menurutnya, kos perbelanjaan tersebut boleh digunakan untuk perkara lain.

Selain mempersoalkan keputusan kerajaan untuk membekalkan makanan berkhasiat secara percuma kepada semua pelajar sekolah rendah termasuk mereka yang berasal dari keluarga berada, katanya ini akan menelan peruntukkan sebanyak RM1.6 bilion.

Anggaran itu, katanya berdasarkan terdapat 2.7 juta orang murid sekolah rendah di seluruh negara dan mengikut perkiraan RM3 sehari untuk 200 hari bersekolah dalam setahun, maka kos penyediaan makanan berkhasiat untuk semua pelajar adalah sebanyak RM1.6 bilion.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu kemudian, menjawab soalan seterusnya dari pemberita lain yang bertanyakan soalan mengenai sama ada bilangan pensyarah akan terjejas melalui gabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Pertama, tak akan berlaku kekurangan pensyarah. Ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Kabinet telah secara principle bersetuju dan menubuhkan satu jawatankuasa dan jawatankuasa ni akan mengkaji dan akan akan bertemu dengan stakeholders dan kumpul pandangan mereka semua.

“Kita akan pastikan bahawa dengan penggabungan ini pensyarah akan lebih dinamik dan berdaya saing, dan anak murid akan lebih mempunyai peluang pekerjaan yang lebih,” katanya.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan bahawa UMT dan UniSZA akan digabungkan sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan bagi institusi pembelajaran tinggi dan keputusan muktamad mengenai penggabungan itu dijangka dapat diketahui tidak lama lagi.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda