‘Pusat pelupusan sampah tak berada dalam kawasan Bukit Payong’


shadow

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, mendakwa pusat pelupusan sisa pepejal sanitari yang dirancang dibina di Bukit Payong terletak jauh dari kawasan yang didakwa mempunyai warisan sejarah dan alam semula jadi.

Mengulas mengenai permohonan seorang aktivis sejarah untuk mencalonkan Bukit Payong sebagai tapak warisan negara minggu lalu, Zuraida menjelaskan pusat pelupusan pepejal itu bukannya terletak dalam lingkungan kawasan tersebut.

“Dia (aktivis sejarah tersebut) salah, yang dikatakan tapak warisan itu sangat jauh dari tapak (pusat pelupusan itu).

“Tempat itu sungai dan di bawah bukit. Tak ada kena mengena dengan pelan yang kita buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Smart Cities Asia 2019 kelima di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Minggu lalu, aktivis dan pengkaji bebas sejarah Mohd Azlan Mohd Sharif mencalonkan Bukit Payong sebagai tapak warisan negara ke pejabat Jabatan Warisan Negara (JWN).

Mohd Azlan juga menentang cadangan membina insinerator dengan inisiatif menukar sampah menjadi tengara (WTE) di kawasan tersebut kerana mendakwa Bukit Payong memiliki khazanah alam semula jadi serta tinggalan sejarah.

Dia juga menjelaskan mungkin ada bangkai pesawat Perang Dunia Kedua, Wirraway, dengan nombor siri A20-72 yang terhempas pada 19 Januari 1942 di situ.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda