‘Saranan Zuraida jual rumah mewah kepada pembeli China boleh makan diri’


shadow

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) memberi amaran bahawa saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mencadangkan kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk menarik pembeli dari China bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tak terjual di negara ini mungkin mempunyai akibat yang tidak diingini.

Setiausaha Agung Kehormat HBA Chang Kim Loong berkata pemaju yang gagal menjual hartanah mewah mereka menanggung akibat tidak membina apa yang diperlukan oleh pasaran di Malaysia.

Beliau berkata membantu pemaju memasarkannya kepada pembeli China boleh menggalakkan mereka untuk meneruskan tingkah laku tersebut.

“Sebab mengapa terdapat banyak hartanah mewah tidak terjual adalah disebabkan pemaju perumahan di Malaysia tidak membina apa yang rakyat inginkan, iaitu hartanah yang berpatutan (ditakrifkan sebagai kos di bawah RM300,000).

“Pasaran kini menghukum para pemaju yang menghasilkan sejumlah besar hartanah mewah yang tidak terjual, dan semoga ini akan memaksa pemaju untuk membina lebih banyak hartanah yang berpatutan pada masa depan.

“Bagaimanapun, jika kerajaan tiba-tiba mahu mem,asarkan hartanah mewah yang tidak terjual ini kepada pembeli asing dari China dan Hong Kong, ini hanya akan menggalakkan pemaju untuk terus membina lebih banyak hartanah mewah pada masa akan datang dan bahkan melupakan langsung untuk membina kediaman yang berpatutan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chang juga mempersoalkan kesediaan kerajaan untuk membenarkan pembeli China membeli hartanah di bawah skim “Malaysia Rumah Kedua Saya” dan memberi mereka status sebagai pemastautin tetap seperti yang diiklankan oleh beberapa pemaju yang tidak bertanggungjawab.

Katanya kerajaan tidak seharusnya campur tangan apabila berkaitan dengan hartanah mewah kerana segmen ini paling baik ditinggalkan kepada kuasa pasaran kerana ia hanya melibatkan segmen kecil penduduk.

“Kerajaan tidak boleh dilihat dengan cara apa sekalipun menyokong viabiliti hartanah mewah yang tidak terjual ini kepada pembeli asing.

“Pemaju perlu memberi tumpuan membina hartanah yang lebih berpatutan yang pada masa ini mempunyai permintaan yang sangat tinggi,” katanya.

Chang menambah bahawa stok harta tanah tidak terjual yang sedia ada sepatutnya diselesaikan oleh pemaju sendiri.

“Pemaju seharusnya menurunkan harga jualan untuk mencerminkan keseimbangan baru permintaan yang lebih rendah dan tidak melancarkan projek hartanah mewah baru sehingga pasaran stabil.

“Adalah masuk akal jika produk tidak boleh dijual pada harga RM1.2 juta, pastinya vendor akan menjualnya pada kadar diskaun atau harga lebih rendahlagi sehingga berjaya menjualnya,” katanya.

Semalam, Zuraida berkata Kempen Pemilikan Rumah (HOC) mampu menyelesaikan isu lambakan rumah mewah yang tidak terjual di negara ini.

Kempen itu bagaimanapun katanya hanya terhad untuk rumah-rumah mewah tidak terjual yang bernilai RM100 bilion mengikut harga pasaran.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda