Semuanya demi babah…


shadow

“BUKAN niat saya untuk meraih simpati, tetapi perkongsian itu antara ikhtiar untuk mendapatkan bantuan demi meringankan beban ayah,” kata Fathin Maisarah Ahmad Fairuz.

Fathin, 22, memberi reaksi itu bagi menjelaskan alasannya memuat naik ciapan dan gambar ayahnya, Ahmad Fairuz Ibrahim, 46, di Twitter, Ahad lalu.

Menerusi ciapan itu, Fathin berkongsi keadaan ayahnya yang menghidap barah esofagus dan kini terpaksa minum susu menerusi saluran tiub disambung pada hidung.

Fathin turut meminta jasa baik warganet untuk menghulurkan sumbangan bagi menampung perbelanjaan membeli susu formula untuk ayahnya.

Bercerita lanjut, Fathin berkata, sejak menghidap barah, ayahnya tidak dapat makan seperti dulu, sebaliknya hanya bergantung dengan susu formula setiap hari.

Namun, katanya, ayahnya kini tidak bekerja seperti dulu jadi dia bimbang sekiranya bekalan susu terputus memandangkan harganya mahal dan di luar kemampuan mereka untuk membelinya.

AHMAD Fairuz bersama keluarganya. FOTO ihsan Fathin Maisarah Ahmad Fairuz.

“Memang sedih bila tahu babah (ayah) menghidap barah, tetapi sebagai anak, saya, ibu dan adik beradik tidak boleh terlalu bersedih, sebaliknya perlu sentiasa menggembirakannya.

“Cuma, saya masih menuntut di universiti dan belum mempunyai pendapatan sendiri, jadi tidak dapat membantu meringankan perbelanjaan babah.

“Selepas berfikir panjang, saya tekad memuat naik ciapan itu dengan harapan ada yang sudi untuk menyumbang dan jika bukan dalam bentuk wang sekalipun, doa sudah memadai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Fathin berkata, sejak ciapan itu tular di media sosial,banyak sumbangan diterima dan dia berterima kasih kepada semua penyumbang.

“Ciapan itu dimuat naik secara spontan dan saya tak sangka pula ia boleh tular dan rata-ratanya memberi sokongan serta maklum balas positif.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk membalas jasa mereka yang membantu melainkan berdoa semoga semuanya dimurahkan rezeki oleh Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fairuz yang juga bekas pegawai bank berkata, doktor mengesahkannya menghidap barah esofagus pada Ogos lalu dan pada mulanya, dia dapat minum dan makan makanan lembut seperti biasa.

Namun, katanya, masalah pada saluran pemakanan menyebabkannya tidak dapat makan, sebaliknya hanya minum susu menerusi saluran tiub pada hidung yang disalurkan terus ke perut.

“Rasa malu juga bila dapat tahu kisah saya tular di laman sosial kerana tidak mahu orang ramai salah sangka dan menganggap saya cuba meraih simpati.

“Bagaimanapun, saya memang tidak mampu membeli susu berkenaan kerana setiap tin 800 gram berharga RM80 dan saya memerlukan RM1,200 bagi membeli 15 tin setiap bulan.

“Alhamdulillah, ramai menyumbang sejak kisah saya tular dan ramai rakan lama menghubungi saya untuk membantu.

“Sumbangan mereka serba sedikit meringankan beban saya sementara mendapatkan bantuan daripada agensi berwajib,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank bernombor 4171489504 atas nama Ahmad Fairuz Ibrahim.

-myMetro

Tinggalkan komen anda