Serbuan ke apartmen Jho Low hasil bantuan bekas pembantu Najib


shadow

KES NAJIB 1MDB | Serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di apartmen 3 Kia Peng milik ahli perniagaan Low Taek Jho di Kuala Lumpur berdasarkan maklumat yang diberikan bekas pembantu kepada Najib Razak.

Amhari Efendi Nazaruddin, yang memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu berkata beliau telah membawa SPRM ke unit apartmen milik Low pada 27 Jun 2018.

Serbuan itu kurang seminggu selepas Amhari ditahan oleh SPRM di rumahnya sejurus selepas pulang dari lawatan ke Kemboja.

Amhari ketika di soal balas peguam utama Muhammad Shafee Abdullah, ditunjukkan beberapa gambar serbuan itu dan beliau turut dilihat dalam gambar berkenaan.

Shafee menyoal Amhari sama ada dirinya memberitahu SPRM mengenai peti simpanan di apartmen Low yang terletak di bawah meja atau sama ada SPRM mendapatnya sendiri.

“Jika saya boleh ingat semula, prosedur adalah untuk saksi hadir apabila peti simpanan dibuka.

“Saya fikir ia adalah protokol mereka. Saya duduk di meja makan sehinggalah dan apabila kehadiran saya diperlukan,” katanya.

Amhari berkata beliau tidak pasti sama tukang kunci dipanggil tetapi peti simpanan itu akhirnya berjaya dibuka.

Shafee: Apa yang ditemui?

Amhari: Saya rasa wang.

Shafee: Adakah itu dalam (gambar) A8?

Amhari: Saya fikir macam tu.

Shafee: Adakah mereka kira di hadapan kamu?

Amhari: Mereka tunjukkan kepada saya bungkusan (wang)

Shafee: Adakah mereka kira?

Amhari: Tidak.

Shafee juga menunjukkan Amhari gambar dapur Low yang saiznya dua kali ganda ruang pejabat.

Amhari sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau bertemu Low di situ di mana Low menjelaskan kepadanya mengenai tawaran yang rumit di atas papan putih elektronik.

Amhari dalam keterangannya sebelum ini berkata dia pergi ke rumah Low beberapa kali.

Shafee mempersoalkan sama ada keterangan itu benar, dengan mendakwa Amhari kerap pergi ke sana. Bagaimanapun, Amhari menafikan perkara itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda