Suhakam bimbang serbuan terhadap penganut Syiah


shadow

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyuarakan kebimbangan berkenaan serbuan terbaru terhadap penyikut aliran Syiah yang berlaku di Gombak, Kuala Lumpur pada 6 September lalu.

Apatah lagi serbuan itu menyebabkan tangkapan dibuat terhadap 20 individu termasuk kanak-kanak, kata suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.

“Kita tak boleh mengakui sebagai negara yang mempunyai pelbagai kebudayaan melainkan pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil menghormati dan bertolak ansur terhadap amalan agama setiap individu.

“Suhakam berharap agar tali persaudaraan dan belas kasihan akan menjadi dasar pengukuhan masyarakat, bukan naluri yang memberi reaksi kebencian dan layanan buruk terhadap orang lain kerana perbezaan mereka,” katanya.

Beberapa serbuan terhadap acara penganut aliran Syiah dibuat menjelang Hari Ashura yang jatuh pada 9 September tahun ini. Dalam Syiah, hari itu disambut antara lain bagi memperingati Pertempuran Karbala di mana Husayn ibn Ali – cucu kepada Nabi Muhammad SAW dan tokoh utama dalam Syiah – terkorban.

Di Gombak, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah rumah kedai yang disyaki menjadi tempat berkumpul penganut Syiah bagi menyambut hari tersebut.

Menurut laporan, 20 yang ditahan dibebaskan awal pagi keesokannya.

Di Johor, tidak kurang 20 pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Johor (JAINJ) yang diiringi polis menyerbu sebuah majlis di Kempas dan menahan lapan individu, termasuk seorang warga Yemen dan dua warga Singapura.

Suhakam membangkitkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan berkata warga Malaysia berhak mengamalkan apa-apa agama tanpa bimbang dikenakan tindakan.

Suruhanjaya itu juga membangkitkan Malayasia di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi menyokong Amman Message pada 2005 yang antara lain mengiktiraf kepelbagaian amalan agama Islam, termasuk mazhab Syiah.

Menurut laporan, Amman Message adalah inisiatif Raja Jordan Raja Abdullah II bin Al-Hussein dan dirangka dengan rundingan 24 agamawan sebelum disokong 200 agamawan lain.

“Suhakam bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara dan berharap agar kerajaan akan mengambil tindakan yang adil dan langkah membina ke arah menyediakan hak yang saksama kepada semua kumpulan agama di Malaysia,” katanya lagi.

Mazhab Syiah yang mempunyai ramai pengikut di nagara seperti Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan Yaman dan Pakistan, adalah cabang Islam kedua terbesar di dunia.

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memutuskan bahawa semua jenis ajaran Syiah sesat.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda