Suka hati je ‘menyelit’


shadow

“KAMI orang kurang upaya (OKU) mahu berdikari sendiri dan mempunyai kehidupan yang normal seperti orang lain dan apabila jadi seperti ini, kami terpaksa juga bergantung kepada orang lain,” luah lelaki OKU yang hanya dikenali sebagai Ali, 36.

Dia meluahkan perasaannya itu selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda ‘menyelit’ di petak parkir OKU di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya semalam, sekali gus menghimpit keretanya.

Ali berkata, kejadian itu disedarinya berlaku selepas dia ke kawasan parkir sebaik selesai membeli barang keperluan bersama isterinya pada tengah hari.

“Ketika parkir, ada sebuah lagi kereta sudah ada di dua lot parkir OKU yang disediakan itu. Apabila kembali, saya terkejut apabila ada sebuah kenderaan lain antara dua lot parkir itu.

“Keadaan itu menyebabkan saya tidak boleh masuk ke dalam kereta berikutan ruang yang terhad selain menggunakan kerusi roda.

“Malah, kenderaan terbabit juga didapati tiada pelekat OKU yang ditampal serta sebarang nota atau nombor telefon ditinggalkan pada kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia kemudiannya membuat satu laporan kepada pihak pengurusan pusat beli-belah untuk tindakan lanjut.

“Nasib baik ketika kejadian itu, isteri ada bersama saya. Kalau tidak sudah tentu saya terpaksa menunggu lebih lama sehingga pemilik kenderaan itu muncul.

“Memandangkan isteri tidak boleh memandu, jadi dia bantu saya untuk masuk ke dalam kereta melalui tempat duduk penumpang hadapan terlebih dulu sebelum beralih ke ruang pemandu.

“Selalunya, saya buat semua sendiri dan tidak perlu menggunakan bantuan orang lain,” katanya.

Ali berasa kesal dengan kejadian yang berlaku serta mengharapkan orang ramai lebih peka dan tidak sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan mereka sesuka hati.

“Sekiranya, saya boleh letak kenderaan di parkir orang normal, sudah tentu saya akan letakkan di situ.

“Namun, kami yang menggunakan kerusi roda memerlukan ruang lebih besar supaya tidak terkena kereta lain yang boleh menyebabkan calar,” katanya.

myMetro

Tinggalkan komen anda