Sultanah T’ganu bertegas saman terhadap editor S’wak Report tak perlu bicara penuh


shadow

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bertegas tiada keperluan untuknya memberi keterangan dalam saman fitnah terhadap editor Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown dan dua lagi, berkenaan skandal 1MDB.

Saman itu berkaitan kenyataan dalam buku “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose” yang didakwa mengandungi fitnah.

Peguam Vishnu Kumar dalam penghujahannya, berkata anak guamnya, Sultanah Zahirah, telah membuktikan unsur fitnah melalui afidavitnya kepada mahkamah.

Katanya, kenyataan yang dikatakan fitnah itu merujuk kepada sultanah dan bukannya Sultan Terengganu, kerana menggunakan perkataan “she”.

“Tidak timbul keperluan untuk saksi memberi keterangan terhadap unsur tersebut kerana ia merujuk kepada plaintif,” katanya.

Vishnu juga membangkitkan tindakan Rewcastle-Brown mengantikan perkataan “wife of the sultan” kepada “sister of the sultan” dalam edisi pindaan buku itu.

“Melalui tindakan defendan seperti mengakui dia salah kerana membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif dalam buku itu,” katanya lagi.

Katanya lagi, pindaan yang dibuat tidak menuetralkan kandungan yang didakwa fitnah dalam buku itu, mahupun memulihkan keadaan.

Kandungan dalam buku itu masih berunsur fitnah dan tanggungjawab kini terletak pada defendan untuk membuktikan sebaliknya, katanya lagi.

Pada 13 Mei lalu, Sultanah Zahirah membuat permohonan mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 agar saman itu diputuskan tanpa perlu perbicaraan penuh.

Sultanah Nur Zahirah memohon mahkamah agar membenarkannya untuk tidak memberi keterangan di mahkamah terbuka.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan 18 Oktober ini untuk pendengaran.

Peguam Americk Singh Sidhu juga akan memberikan penghujahan bagi ketiga-tiga defendan pada hari tersebut.

Pada 27 Mei lalu, Sultanah Nur Zahirah membuat permohonan agar saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd, diputuskan menerusi penghakiman terus seperti yang dinyatakan dalam Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Saman tu berkaitan perenggan dalam buku tersebut yang menurut Sultanah Nur Zahirah, telah mengaitkannya dengan skandal 1MDB dan ahli perniagaan Low Taek Jho.

Menurutnya, kenyataan itu membayangkan beliau terlibat dalam perlakuan korup dan campur tangan dalam pentadbiran Terengganu.

Sultanah Nur Zahirah menuntut ganti rugi RM100 juga dan menuntut defendan kedua, Chong agar menarik buku yang mengandungi kenyataan tersebut, serta defendan ketiga Vinlin Press untuk berhenti mencetaknya.

Dalam kenyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan mereka telah menuduh Sultanah Nur Zahirah terlibat dalam perkara itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda