Titik mula dari London


shadow

KEGIGIHAN wanita ini membina empayar perniagaan sendiri wajar menjadi contoh. Ketika ramai wanita seusianya menikmati rutin kehidupan selesa, Nur Izzati Mohamed Zuldin memilih untuk menjadi luar biasa.

Kata anak sulung daripada empat beradik ini, minatnya terhadap aktiviti melancong memberi idea dan kekuatan untuk dirinya berkecimpung dalam dunia perniagaan sekarang.

“Tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dulu, saya sudah mula bekerja di beberapa agensi pelancongan yang bertapak di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

“Saya juga menimba pengalaman dengan bekerja di syarikat sewa kenderaan. Perjalanan awal karier saya berlegar dalam ruang lingkup yang sama kerana minat.

“Kemudian, selepas berkahwin, saya pastikan untuk mengambil cuti setahun sekali dan melancong bersama keluarga. Saya akan bawa anak berjalan-jalan. Lama-kelamaan, saya mula terfikir, alangkah bagusnya jika saya membuka agensi pelancongan sendiri,” katanya.

Menurut Nur Izzati, dia cukup bertuah dan terharu kerana idea untuk memulakan perniagaan diterima baik oleh suami dan ahli keluarga lain.

“Saya fikir, selepas lapan tahun mengerah keringat dalam bidang ini, pasti banyak ruang dan peluang besar boleh diteroka dengan usaha sendiri. Tambahan, saya minat melancong. Ia memberi kepuasan terutama selepas penat bekerja.

“Jadi, sekitar 2014, ketika saya bercuti ke London bersama suami dan anak-anak, terdetik niat untuk memulakan perniagaan di sana. Itupun selepas saya lihat betapa susahnya pelancong merancang perjalanan mereka apabila tiba di London atau negara Eropah buat pertama kali.

“Majoriti tidak tahu titik mula yang sesuai. Mahu atau tidak, mereka terpaksa buat sedikit kajian mengenai lokasi yang patut dikunjungi. Kebetulan, saya juga dipertemukan dengan ramai pelajar Malaysia di London.

“Selepas bercerita dan berbincang, kami merancang untuk memulakan perniagaan secara serius. Apa yang lebih menggembirakan, pelan berkenaan secara tidak langsung membuka peluang untuk saya membantu ramai pelajar mencari pendapatan sampingan, buat menampung kehidupan mereka di sana,” katanya.

ANTARA pelanggan yang pernah mengikuti pelancongan ditawarkan.

PENAT TAPI SERONOK

Bercerita lanjut, kata anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan ini, dia sentiasa optimis dengan pelbagai ujian dan cabaran yang datang di awal permulaan perniagaannya.

“Saya suka bersaing dan tidak mudah mengalah. Saya selalu yakin, Ezigo Holiday mempunyai keistimewaan tersendiri. Bahkan, saya juga berkawan dengan ramai rakan pesaing kerana semua rezeki datangnya dari Allah.

“Di samping mengusahakan agensi pelancongan, saya juga menjadi ejen jual beli rumah. Ini pun masih dalam fasa belajar untuk menambah pendapat sampingan,” katanya.

Adat berniaga, kata Nur Izzati, dia juga tidak lari daripada melalui pelbagai kesukaran untuk menguruskan syarikat termasuk ditipu puluhan ribu ringgit.

“Mula-mula agak susah sebab perbezaan waktu antara Malaysia dengan London. Tapi sekarang, saya sudah biasa ‘diganggu’. Apa yang penting, pelanggan gembira menikmati percutian mereka.

“Selain masa, cabaran besar lebih kepada ditipu. Banyak kali juga saya rugi. Ada yang pernah mencecah RM20,000. Tetapi, Allah bantu dan saya sentiasa percaya pada rezeki yang sudah diatur,” katanya.

Tidak mahu terlalu fokus kepada masalah, Nur Izzati berkata, dia lebih suka mencurahkan pengalaman sendiri dalam membina jenama supaya lebih realistik dan bertepatan dengan keperluan pelancong.

“Lazimnya, saya akan sediakan pakej mengikut keselesaan pelanggan. Memang tidak ada pakej tetap. Pelanggan yang datang hanya perlu beritahu jenis percutian yang diidamkan dan kami akan buat pakej khas untuk mereka.

“Kami faham setiap orang ada bajet tersendiri untuk melancong. Jadi, kami akan beri pakej terbaik mengikut kemampuan poket mereka. Ini semua datang dari idea dan pengalaman sendiri yang suka melancong,” katanya.

BANTU KELUARGA

Bangga dengan pencapaian yang diraih, Nur Izzati kini selesa menggalas tanggungjawab sebagai pengarah urusan syarikat. Dia juga puas dapat membantu keluarga dan menggembirakan kedua ibu bapanya.

“Saya bersyukur kerana cabang rezeki ini memberi pulangan berbaloi untuk keluarga, membantu ramai kakitangan dan pelajar di luar negara meraih pendapatan selesa.

“Sebagai anak sulung, saya lebih senang memberi kepada adik yang masih belajar, memenuhi keperluan keluarga dan kakitangan yang sama-sama membanting tulang memajukan syarikat.

“Jarang saya membeli untuk kepentingan diri kerana lebih suka mendahulukan keluarga dan mereka yang memerlukan. Secara tidak langsung, saya rasa puas,” katanya.

Jelas Nur Izzati, dia bersyukur dikurniakan suami yang banyak memberi dorongan dan sanggup berkorban untuk dirinya sehingga berhenti kerja demi membantu menaikkan perniagaan sekarang.

“Saya kira, ini juga rezeki buat diri. Selebihnya, jangan cepat mengalah walaupun jatuh berkali-kali. Bangun dan terus usaha. Usah mementingkan diri sendiri dan jangan abaikan keluarga kerana doa suami dan ibu bapa itu penting,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda