Zuraida tak rujuk pakar, kata pengkaji sejarah


shadow

Pengkaji sejarah bebas Mohd Azlan Mohd Sharif berkata beliau terperanjat dengan kenyataan menteri perumahan Zuraida Kamaruddin yang mempertahankan rancangan pembinaan pusat pelupusan sisa pepejal sanitari di Bukit Payong, Batu Pahat.

Mohd Azlan berkata Zuraida sepatutnya merujuk pakar terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.

“Saya terkejut dengan kenyataan YB menteri KPKT (Zuraida).

“Tapak WTE (pemprosesan sampah kepada tenaga) ini telah dikaji lokasinya dari sudut geografi dan sebagainya.

“Penafian YB menteri memeranjatkan apatah beliau tidak merujuk pakar seperti ketua pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), pesuruhjaya warisan sebelum membuat kenyataan,” kata Azlan.

Zuraida Kamaruddin 

Menjawab soalan pemberita, Zuraida semalam berkata insinerator WTE akan dibina jauh dari kawasan yang didakwa mempunyai warisan sejarah dan alam semula jadi.

Zuraida berkata fakta dikemukakan Mohd Azlan itu adalah salah.

“Tempat itu sungai dan di bawah bukit. Tak ada kena mengena dengan pelan yang kita buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Smart Cities Asia 2019 kelima di Lumpur semalam.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, Mohd Azlan berkata berdasarkan peta topografi antara 1957 hingga 1966 dan Google Maps, jelas menunjukkan Bukit Payong terletak di atas Formasi Paloh.

Perkara itu, katanya, diakui mantan pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor sendiri.

“Saya hairan kenapa menteri KPKT dan menteri besar Johor tidak mahu pindah projek WTE ke mukim Jorak, Pagoh.

“(Jorak) tiada ancaman warisan dan jauh dari penempatan, kelihatan tergesa-gesa nak sangat WTE dijalankan di Bukit Payong tanpa kajian pakar,’’ katanya.

Malaysiakini pada 3 Disember lalu melaporkan pengarah JMG Johor, Mohamad Hussein Jamaluddin, berkata kawasan sekitar Parit Sulong, Muar, Pagoh, Yong Peng sehingga ke Paloh (termasuk Bukit Payong) dipetakan sebagai mempunyai jujukan batu dari zaman akhir jura hingga ke era kapur awal (jutaan tahun).

Jujukan itu disebut sebagai Formasi Paloh.

Pada 3 September, Mohd Azlan menghantar borang pencalonan Bukit Payong sebagai tapak warisan untuk didaftarkan ke pejabat Jabatan Warisan Negara (JWN) di Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa terdapat fosil tumbuhan jutaan tahun, batu Aceh ratusan tahun dan kemungkinan terdapat bangkai pesawat Perang Dunia Kedua.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda