Biar untung 10 sen


shadow

SEGAMAT: “Walaupun untung hanya 10 sen, tetapi saya bersyukur dapat mengenyangkan perut pelanggan terutama dalam kalangan golongan B40 (berpendapatan terendah),” kata peniaga nasi ayam bajet, Dzaul Kafli, 36, di Gerai Majlis Perbandaran Segamat (MPS) di sini, semalam.

Berbanding gerai atau restoran yang menjual nasi ayam pada harga sekitar RM4 hingga RM7 sepinggan, dia hanya menawarkan harga nasi ayam serendah RM1.90 sen untuk satu set.

Harga itu dianggap tidak masuk akal berikutan kos bahan mentah di pasaran ketika ini terus meningkat.

Dzaul berkata, dia bersama isterinya, Nur Zara Kassim, 38, menjual set nasi ayam dengan harga murah daripada kebiasaan kepada pelanggan yang mempunyai ahli keluarga ramai.

“Jadi saya perkenalkan harga jimat bagi memberi ruang kepada mereka merasai set nasi ayam murah tanpa perlu berkongsi,” katanya.

Menurutnya, dia mengecilkan sedikit ukuran potongan ayam pada bahagian dada, paha atau kepak bagi setiap set nasi ayam dijual.

“Hidangan turut disertakan dengan sup, sos pedas, timun dan daun sup. Ia cukup mengenyangkan untuk makan tengah hari atau sarapan pagi,” katanya.

Dzaul berkata, ada pelanggannya bertanyakan bagaimana perniagaannya boleh bertahan lama dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.

“Walaupun hanya untung 10 sen, namun kami turut menjana pendapatan tambahan melalui hidangan air minuman yang dijual.

“Permulaannya kami hanya mampu menjual tiga ekor ayam sehari namun ia kini meningkat kepada lapan ekor sehari berikutan sambutan yang diterima,” katanya.

Menurutnya, dia membayar sewa gerai hanya RM150 sebulan selain tidak menggajikan pembantu.

Nur Zara berkata, resipi nasi ayam itu dipelajari melalui ahli keluarga selain rujukan laman sosial.

Pelanggan yang juga kakitangan pasar raya, Huzaimah Abu, 45, memuji harga yang ditawarkan itu kerana ia dianggap mampu bayar untuk golongan bergaji rendah.

Tinggalkan komen anda