Eksport, import negara susut


shadow

KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan eksport negara pada Ogos tahun ini menurun sedikit 0.8 peratus kepada RM81.4 bilion dan import turut merekodkan penurunan 12.5 peratus kepada RM70.4 bilion, dari tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah dagangan bernilai RM151.8 bilion merosot RM10.7 bilion atau 6.6 peratus berbanding Ogos 2018.

“Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa kejatuhan dalam eksport disebabkan oleh penurunan eksport ke Hong Kong (-RM911.5 juta), Singapura (-RM844.9 juta), Australia (-RM818.1 juta), Taiwan (-RM690.2 juta) dan Thailand (-RM382.1 juta).

“Sementara itu, import lebih rendah terutamanya dari China (-RM1.9 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.6 bilion), Singapura (-RM1.6 bilion), Taiwan (-RM1.4 bilion) dan Arab Saudi ( -RM942.1 juta),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Uzir, produk utama yang menyumbang kepada penurunan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (-RM2.4 bilion), petroleum mentah (-RM1.3 bilion) dan gas asli cecair (-RM366.6 juta).

Bagaimanapun, katanya, peningkatan dicatatkan untuk produk seperti minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (+RM844.3 juta), keluaran petroleum bertapis (+RM349.6 juta), kayu dan hasil keluaran kayu (+RM34.5 juta) serta getah asli (+RM12.6 juta).

“Bagi import, import mengikut Penggunaan Akhir merekodkan penurunan bagi semua kategori utama iaitu barangan perantaraan (-RM6.3 bilion), barangan modal (-RM3.6 bilion) dan barangan penggunaan (-RM909.8 juta),” katanya.

Sementara itu, kata Mohd Uzir, eksport semula yang bernilai RM13.4 bilion merekodkan penurunan 0.3 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 16.5 peratus daripada jumlah eksport.

Eksport domestik juga mencatatkan kejatuhan 0.8 peratus atau RM581.7 juta kepada RM67.9 bilion.

Tinggalkan komen anda