Fly Malaysia: Dari MAS Untuk Malaysia


shadow

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) hari ini melancarkan kempen jenama untuk menyokong Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) yang menggunakan slogan ‘Fly Malaysia’.

Kempen yang dilancarkan sekaligus bertujuan untuk membolehkan syarikat penerbangan itu, melalui perkongsian dengan badan pelancongan relevan, mempromosikan Malaysia ke seluruh dunia.

MAS dalam satu kenyataan hari ini berkata Fly Malaysia akan mempromosikan negara secara besar-besaran sebagai destinasi pilihan, kerana syarikat penerbangan itu akan bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia.

Sepanjang kempen itu, MAS akan menggunakan logo “Wau” yang dibentuk dengan motif kebaya ikonik bersama reka bentuk batik tradisional, yang mempersembahkan budaya, warisan dan kepelbagaian Malaysia.

“Kempen ini diwujudkan untuk menggalakkan rakyat Malaysia memainkan peranan dengan mengambil bahagian dalam beberapa inisiatif media sosial syarikat penerbangan itu dalam mempromosikan negara,” katanya.

Kempen Fly Malaysia itu akan dapat dilihat melalui iklan dan saluran media sosial MAB sepanjang tempoh suku keempat 2019 sehingga akhir tahun 2020.

MAB juga akan memulakan lebih banyak kempen jualan bersama syarikat penerbangan sekutunya, Firefly dan MASwings, bagi menggalakkan rakyat Malaysia melancong ke dalam negara dan menghubungkan pelancong ke Malaysia.

“Kami juga akan bekerjasama dengan badan pelancongan negeri di seluruh Malaysia untuk mempromosikan destinasi domestik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kapten Izham Ismail berkata menerusi Fly Malaysia, pengalaman melancong ke Malaysia akan dirasai sebaik sahaja pengembara melangkah masuk ke pesawat, dan bagi rakyat Malaysia, ia adalah suasana seperti berada di tanah air sendiri, walau ke mana sahaja perjalanan mereka lakukan.

“Bagi syarikat penerbangan itu, Fly Malaysia bermaksud menampilkan perkhidmatan kami melalui budaya kita dan sentiasa menjadi rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Tinggalkan komen anda