Grab terkejut cadangan MyCC denda RM86.7 juta


shadow

Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Inc (Grab) menyuarakan rasa terkejut dengan cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendenda pihaknya sebanyak RM86.7 juta kerana melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010.

Syarikat itu menegaskan ia telah mematuhi sepenuhnya Akta Persaingan 2010.

“Sementara peguam kami mengkaji keputusan cadangan itu, kami yakin ini merupakan amalan biasa perniagaan untuk menentukan kebolehsediaan dan jenis pengiklanan pihak ketiga di platform masing-masing yang disesuaikan mengikut keperluan dan maklum balas pengguna,” menurut jurucakap Grab dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu Grab akan mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC pada 27 Nov.

Terdahulu, suruhanjaya itu bercadang supaya Grab Inc didenda RM86.7 juta selain penalti kewangan harian sebanyak RM15,000 mulai hari ini selepas didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan beberapa klausa sekatan ke atas pemandunya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda