Hew letak jawatan CEO Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-China


shadow

Bekas aktivis DAP Hew Kuan Yau yang dikritik susulan komik didakwa berunsur propaganda meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-China (JBC).

Beliau berkata keputusan itu untuk memastikan operasi majlis itu berjalan dengan lancar.

Pengumumannya itu susulan bantahan berterusan terhadap komik tulisannya bertajuk Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)’.

“Untuk memastikan operasi JBC lancar, saya telah menyerahkan peletakan jawatan saya kepada pengerusi Tan Kok Wai.

“Ia berkuat kuasa serta merta dan keputusan saya muktamad,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap komik itu atas dasar ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Menurut KDN, larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menetapkan larangan mutlak terhadap “pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan”.

Sepanjang lapan bulan memegang jawatan itu, kata Hew, beliau telah berusaha mengukuhkan ekonomi dan perdagangan, serta mempromosikan hubungan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan China terutama berkaitan BRI.

“Niat saya ialah membuka lebih sumber ke arah Malaysia yang moden memandangkan negara sudah ditimpa masalah kleptokrasi oleh pentadbiran lalu.

“Saya sentiasa percaya jika rakyat Malaysia lebih memahami pembangunan dan perubahan masyarakat dan tamadun China, ia akan memberikan pengetahuan berharga untuk persahabatan, ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih terhadap sokongan pihak dalam JBC.

Komik itu mula menjadi perhatian apabila ia diedarkan di sejumlah sekolah. Kementerian Pendidikan kemudian berkata pengedaran buku itu tidak pernah diluluskan dan mengarahkan sekolah untuk tidak menerimanya.

Hew mempertahankan komik tersebut yang menurutnya bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap BRI, selain ia adalah pandangannya dari sudut sejarah.

Hew keluar DAP pada Julai 2016 selepas komennya bahawa Laut China Selatan milik China mencetuskan kontroversi.

Beliau dilantik sebagai CEO JBC pada Januari tahun ini.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda