Malaysia Airlines boleh berubah kalau laksana langkah getir


shadow

Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) mempunyai peluang luas untuk berubah namun perlu melaksanakan beberapa langkah getir bagi memulihkan keadaannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akbar Al Baker.

Beliau berkata pandangannya mengenai situasi dialami Malaysia Airlines turut dikongsikan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa pertemuan mereka baru-baru ini.

“Ia merupakan kunjungan hormat untuk melihat sama ada terdapat sebarang langkah yang boleh kami lakukan untuk membantu Malaysia Airlines.

“(Dr Mahathir) telah menjemput saya kerana beliau mengenali saya sejak sekian lama dan mendengar apa yang telah saya suarakan mengenai usaha yang boleh dilakukan bagi tujuan pemulihan Malaysia Airlines.Iklan

“Namun, saya tidak boleh memaklumkan butiran mengenai apa yang saya kongsikan bersama perdana menteri,” katanya kepada pemberita di luar sidang media selepas meraikan ketibaan penerbangan sulung Qatar Airways ke Langkawi hari ini.

Beliau berkata Malaysia Airlines merupakan syarikat penerbangan yang amat baik namun mengalami beberapa masalah.

Bagaimanapun beliau yakin Malaysia Airlines memiliki peluang luas untuk mengubah situasi itu namun perlu melaksanakan beberapa langkah yang amat getir dalam usaha tersebut.

Akbar berkata Malaysia Airlines boleh mempelajari pengalaman Qatar dalam pengurusan syarikat, perkhidmatan pelanggan dan seterusnya untuk berjaya dalam industri ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan nasional merupakan elemen penting dalam ekonomi negara.

“Cuba bayangkan jika anda tidak memiliki syarikat penerbangan negara, namun anda mempunyai rancangan besar untuk memajukan sektor pelancongan.

“Mengapa perlu meraih simpati daripada syarikat penerbangan lain? Jadi, amat penting untuk Malaysia Airlines dikekalkan dan membolehkan ia berkembang, namun pada masa sama, menghalang perkara-perkara yang menjejaskannya,” katanya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda