Maxis sedia lancar perkhidmatan rangkaian 5G pada separuh kedua 2020


shadow

Maxis akan melancarkan perkhidmatan rangkaian 5G sebaik sahaja spektrum yang diperlukan itu disediakan oleh kerajaan. – BERNAMAPUTRAJAYA: Syarikat telekomunikasi, Maxis Berhad (Maxis) sedia melancarkan perkhidmatan rangkaian teknologi 5G kepada pelanggan-pelanggannya pada separuh kedua tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata syarikat telekomunikasi tersebut akan melancarkan perkhidmatan rangkaian 5G sebaik sahaja spektrum yang diperlukan itu disediakan oleh kerajaan.

Ogut berkata, menerusi perjanjian peruntukan rangkaian 5G di negara ini dengan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd (Huawei) pada Khamis, Maxis ingin menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi pertama untuk menawarkan perkhidmatan rangkaian 5G negara ini.

“Dengan perjanjian Maxis dan Huawei pada hari ini, Maxis bercita-cita untuk menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi pertama di Malaysia yang menawarkan 5G.“Pelancaran sebenar akan bergantung kepada bila spektrum yang diperlukan dapat disediakan kerajaan.

“Mengikut perancangan, ia adalah pada separuh kedua tahun depan,” kata Ogut pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara Maxis dan Huawei di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.

Majlis pemeteraian perjanjian tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Majlis pemeteraian perjanjian tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana. - BERNAMA

Majlis pemeteraian perjanjian tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana. – BERNAMA

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) Al-Ishsal Ishak, Pengerusi Maxis Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengangkut Huawei Ryan Ding.

Ditanya tentang kadar yang akan dikenakan kepada pelanggan pabila rangkaian perkhidmatan 5G dilancarkan, Ogut berkata Maxis masih belum menentukan kadarnya.

“Saya gembira ramai yang teruja dengan rangkaian 5G ini tetapi sejujurnya, kami masih belum memutuskan kadar harganya kerana ia masih di peringkat percubaan.

“Apa yang boleh saya katakan ialah kadar untuk 5G tidak akan banyak berbeza dengan kadar-kadar yang kami tawarkan sebelum ini,” jelasnya.

Pada Februari, Maxis dan Huawei menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam percubaan 5G secara menyeluruh.

Maxis kemudiannya memulakan percubaan 5G langsung yang pertama di negara dan mengambil bahagian dalam pameran #5GMalaysia SKMM di Putrajaya.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda