Mengangkat maruah Melayu dengan ‘kuasa lembut’


shadow

ULASAN | Beberapa minggu lepas, Kongres Maruah Melayu berlangsung dengan profesor sejarah, Dr Zainal Kling, memberi amaran keras terhadap ancaman terbatalnya kontrak sosial.

Ia adalah ungkapan tersirat beliau mengenai kewarganegaraan orang bukan Melayu di negara ini dan natijahnya jika ia dilanggar.

Pada akhir kongres, lima resolusi diserahkan kepada Dr Mahathir Mohamad. Ia merangkumi isu berkaitan penghapusan sekolah vernakular secara berperingkat, melantik Muslim di semua jawatan penting, dan hanya bahasa Melayu digunakan pada semua dokumen rasmi kerajaan.

Ia diucapkan di atas pentas Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

Kongres itu mendapat liputan berita yang meluas. Dan jika ada yang tidak sedar, tidak semua wartawan yang membuat liputan mengenainya adalah orang Melayu.

Sesetengah mereka berasa kurang selesa dengan semangat dan kata-kata yang diucapkan, termasuk rakan sekerja saya yang menceritakan pengalamannya baru-baru ini.

Habis kongres dan ketika polemik mengenainya masih berlangsung, muncul pula dua penuntut Universiti Malaya memprotes naib canselor mereka, dengan seorang daripadanya melakukan bantahan itu dari atas pentas.

Zainal Kling.

Sekali lagi isu mengenai kaum di negara ini menjadi tumpuan dan perbualan orang ramai.

Sebagai Cina Malaysia, saya memang berkongsi rasa tidak selesa itu walaupun tiada dalam dewan tersebut ketika kongres berkenaan berlangsung.

Untuk makluman, saya mendapat pendidikan sekolah jenis kebangsaan Cina. Ia membentuk identiti dan pandangan saya di bumi Nusantara ini. Namun saya bukanlah orang yang memberikan ketaatan kepada negara China.

Malaysia tetap menjadi tanah tumpah darah saya.

Bahasa ibunda kurang relevan

Justeru gesaan seperti menghapuskan sekolah vernakular sedikit sebanyak menyinggung perasaan saya.

Secara kebetulan tiga hari selepas Kongres Maruah Melayu berakhir, hadir pula khabar bagaimana akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang diterbitkan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) diberhentikan operasinya.

Institusi persuratkhabaran yang pernah menjadi nadi bangsa Melayu itu tiba-tiba lenyap dalam kehidupan seharian. Daripada ada di rak-rak kedai setiap hari, Utusan Malaysia ghaib tanpa diduga.

Saya juga berkongsi sentimen dengan nostalgia orang Melayu dan bersimpati dengan penutupan syarikat Utusan Melayu ketika ia sepatutnya meraikan hayat yang ke-80 tahun ini.

Sambil-sambil itu jangan marahkan saya apabila tertanya-tanya, mengapakah orang Melayu – yang membentuk 50 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia – berasa terancam sehinggalah perlu memartabatkan Melayu di dalam stadium?

Dalam The House Of Islam: A Global History (halaman 202 – 205)* karya pengasas badan pemikir antiekstremis Quilliam di London, Mohamed Ed Husain berkata, dunia Arab terjebak dalam dilema apabila bahasa ibunda mereka menjadi kurang relevan dalam kehidupan seharian, termasuk semasa pembelajaran sains dan teknologi.

Katanya, keadaan berbeza dengan bahasa Inggeris. Bahasa Arab, kata Ed Husain, cuma terpakai secara meluas dalam pembelajaran pendidikan Islam.

“Dalam keadaan ketidaktentuan masa depan negara-negara Arab, bahasa Arab kelihatan megah di sisi agama tetapi kurang bermutu di depan sains, martabat dunia Barat dan inovasi teknologi. Tetapi ia (dunia Barat) juga sering diserang oleh imam-imam ke atas Amerika Syarikat – percanggahan minda di otak (cognitive dissonant) tidak dapat dielakkan,” tulisnya.

Dalam kata lain, penggunaan bahasa Arab hanya terkongkong dalam ruang rohani persendirian tetapi terasing daripada kehidupan awam yang didominasi oleh budaya Barat serta bahasa Inggeris.

Bahasa Melayu jadi sandaran

Ketidakharmonian tersebut mencetus gelombang antipenjajahan dan imperialisme Barat dalam kalangan rakyat Arab, seperti penentangan terhadap Israel dan sebagainya.

Mengambil iktibar pemerhatian Ed Husain atas dunia Arab, Tanah Melayu juga melalui pengalaman tersebut apabila kesan penjajahan masih terpalit dalam kehidupan seharian kita.

Misalnya, secara umum bahasa perdana bagi penyerapan ilmu di Malaysia adalah bahasa Inggeris. Kebanyakan buku ilmiah yang ada di atas rak kedai buku – sama ada bidang kemanusiaan, sejarah mahupun sains dan teknologi – dicetak dalam bahasa Inggeris.

Pada masa sama, keadaan dirumitkan dengan penggunaan meluas bahasa Cina di sektor swasta, terutama dalam era kebangkitan semula China pada abad ke-21.

Tidak berapa hairanlah ada desakan untuk menyingkirkan sekolah vernakular dengan menjadikan hujah memartabatkan bahasa Melayu sebagai sandaran.

Malah ada pihak selalunya mengukur martabat bangsa Melayu melalui saiz tulisan di papan-papan tanda, atau kedudukan pernyataan sesuatu majlis pada pemidang serta tirai latar (backdrop) majlis-majlis rasmi.

Kesan daripada sentimen berlakukan luahan rasa tidak puas hati yang kemudian berturutan pula dengan reaksi pihak yang bertentangan.

Mungkin kita boleh ambil sedikit teladan daripada reaksi Jepun feudal pada zaman penjelajahan eropah ke atas Asia pada abad ke-16.

Dalam buku sejarah, zaman penaklukan terhadap negara ini bermula dengan kejatuhan Kesultanan Melaka akibat serangan Portugis. Jepun feudal pula menerima kesan daripada kedatangan pedagang-pedagang Portugis, Sepanyol dan Eropah bermula di petempatan nelayan di Nagasaki, selatan negara matahari terbit itu.

Beberapa hari sebelum Kongres Melayu Maruah diadakan, saya berpeluang menelusuri bandar pelabuhan itu sambil melawat Muzium Sejarah dan Budaya Nagasaki.

Bercanggah dengan tanggapan umum serta monolitik budaya Jepun yang asal usulnya dari Dinasti Tang, China, muzium itu memaparkan Nagasaki sebagai tingkap Jepun untuk menyerap seni budaya, sains dan teknologi Eropah.

Papan pameran tokoh-tokoh Jepun belajar di Nagasaki Jepun.

Walaupun pemerintahan diktator ketenteraan Kesyogunan Tokugawa melaksanakan polisi Sakoku (mengunci pintu negara) yang melarang orang asing memasuki Jepun, atau orang Jepun keluar negara tanpa izin, namun mereka tetap memanfaatkan pengetahuan daripada Nanban (bahasa Jepun, bermaksud orang liar dari selatan yang merangkumi orang Eropah).

Ada satu ruang muzium dikhususkan untuk penjelasan bagaimana bandar raya Nagasaki menjadi pusat pembelajaran pengembara dari seluruh pelusuk Jepun.

Peta bandar kuno Nagasaki menunjukkan pusat-pusat penterjemahan bahasa Belanda-bahasa Jepun, bahasa Cina-bahasa Jepun dan tempat pengajian ilmu sains serta teknologi Barat.

Pembentukan kuasa lembut

Satu papan pameran dikhaskan untuk tokoh-tokoh ilmuan serta pemikir dan doktor yang berjaya selepas mereka memanfaatkan pembelajaran dari Barat.

Sebuah replika buku Kaitai Shinsho (Buku Baru Pembedahan) yang memaparkan lukisan-lukisan organ diletakkan atas rak membawa makna sejarah untuk Jepun.

Ilmuwan Sugita Genpaku menterjemahkan buku perubatan Belanda tersebut ke bahasa Jepun kerana dia berasakan penjelasan perubatan Barat lebih tepat berbanding ilmu perubatan China.

Kaitai Shinsho Sugita Genpaku di Muzium Sejarah dan Budaya Nagasaki.

Atas pembelajaran dan terjemahan Barat, Jepun dapat mempelbagaikan dan menguatkan minda serta keyakinan rakyatnya. Ia menyumbang kepada pembinaan asas Pemulihan Maharaja Meiji (Meiji Restoration) dan mengakhiri dasar Sakoku pada abad ke-19.

Selepas itu, Jepun mengalami kemajuan perindustrian amat pesat hasil cerapan idea dan semangat Barat moden, sebelum kemudiannya menjadi kuasa besar dunia.

Meskipun ledakan bom atom di Hiroshima serta Nagasaki menandakan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, Jepun cepat pulih – juga atas semangat inovasi, rasional dan keterbukaan mereka kepada ilmu.

Selain pelbagai jenama barangan perindustrian seperti Toyota, Panasonic serta Toshiba yang menjelajah seluruh dunia, paling menakjubkan – bagi saya – adalah pembentukan kuasa lembut (soft power) Jepun yang diterajui dengan komik manga dan anime.

Memang karya-karya begitu kental dengan budaya dan sejarah Jepun, namun ia tidak menolak unsur-unsur budaya negara lain.

Karya kegemaran saya, Hagane no Renkinjutsushi (Fullmetal Alchemist), adalah fiksyen dengan asas Eropah era pascarevolusi industri yang mengisahkan dua adik-beradik mencari Batu Falsafah untuk menghidupkan kembali ibu mereka.

Penyebaran kuasa lembut Jepun ini berjaya menakluki pasaran antarabangsa sampailah ke Tanah Melayu. Pencapaian ini bermula dengan kemasukan Doraemon dan berlanjutan sehingga sekarang.

Mungkin Kongres Maruah Melayu boleh memikirkan kaedah untuk membantu bangsa Melayu membentuk kuasa lembut tersendiri di Nusantara yang mengadun tamadun Islam, India, China dan Barat serta mengangkat martabat diri bangsa Melayu serta Malaysia?

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda