Simbolik aspirasi Malaysia


shadow

Berbeza dengan projek menara ikonik yang lain, Merdeka 118 yang dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikat miliknya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd mempunyai keunikannya tersendiri.

Mengambil kelebihannya yang berada berhampiran dua warisan negara iaitu Stadium Negara dan Stadium Merdeka, pembinaan Merdeka 118 dianggap memiliki sentuhan luar biasa di antara seni bina bersejarah dan kontemporari.

Malah, sebagai penjaga kepada kedua-dua tapak bersejarah itu, PNB Merdeka Ventures melakukan pelbagai usaha pemuliharaan Stadium Merdeka apabila stadium berkenaan menjalani usaha baik pulih pada 2007 bagi mengembalikannya kepada keadaan asal seperti pengisytiharan kemerdekaan pada 1957.

Pelan membaik pulih Stadium Negara pula akan dilaksanakan bagi membolehkannya diguna pakai sebagai lokasi untuk pelbagai aktiviti menarik.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, Merdeka 118 turut mempunyai peranan penting sebagai hab bersepadu di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang bakal menawarkan ruang keselesaan untuk gaya hidup seterusnya memberikan pengalaman luar biasa kepada masyarakat sekelilingnya.

Katanya, menjelang 2021, apabila ia siap dibina, menara yang merangkumi 118 tingkat dengan ketinggian 635 meter itu akan muncul sebagai mercu tanda baharu di Kuala Lumpur serta rantau ini.

“Presint ini bukan saja melambangkan kebudayaan dan sejarah kemerdekaan negara, tetapi perubahan dan masa depan kita.

“Puncak Menara Merdeka 118 ini turut membawa simbolik aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara dan PNB sebagai syarikat untuk terus berusaha dan berjaya,” katanya.

Apabila selesainya projek ini, Merdeka 118 akan melingkungi lebih tiga juta kaki persegi yang terdiri daripada 1.65 juta kaki persegi ruang pejabat gred A untuk disewakan.

Selain itu, menara berkenaan juga mempunyai dek pemerhatian PNB yang bakal menjadi tertinggi di Asia Tenggara serta satu-satunya Park Hyatt Hotel di Malaysia, satu juta kaki persegi pusat beli-belah yang menarik serta tiga menara kediaman premium.

Menara ini juga menyasarkan penarafan tiga akreditasi platinum dengan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED), GreenRe dan Green Building Index (GBI) yang akan menjadikan Merdeka 118 sebagai bangunan pertama di Malaysia untuk mendapat pengiktirafan sedemikian.

Terdapat juga beberapa projek yang sedang diusahakan termasuk teater dengan kapasiti 1,000 tempat duduk, lokasi yang sememangnya bersesuaian untuk pameran dan persembahan kebudayaan dan seni, muzik serta hiburan secara langsung.

Antara lain yang sedang dibangunkan adalah sebuah dewan yang mampu menampung sehingga 2,000 tetamu dan taman seluas empat ekar yang dilengkapi dengan tarikan air pancut yang berperanan sebagai ruang terbuka untuk rakyat Malaysia serta pelawat untuk menikmati pemandangan berlatar belakangkan Merdeka 118.

Keseluruhan projek pembangunan Merdeka 118 terdiri daripada tiga fasa membabitkan keseluruhan kos pembangunan kasar (GDC) berjumlah RM7 bilion.

Setakat ini, 40 peratus daripada RM5 bilion yang diperuntukkan untuk fasa satu dan dua bagi menara 118 tingkat dan pusat beli-belah digunakan oleh PNB

manakala fasa terakhirnya, meliputi kediaman dan kos infrastruktur lain bernilai RM2 bilion.

Fasa terakhir yang merangkumi segmen kediaman atau dikenali sebagai Menara Residences itu terdiri daripada tiga menara kediaman premium itu dijangka bermula pada penghujung 2020.

Tinggalkan komen anda