Sokong beli barangan buatan Malaysia


shadow

BANGI: Pemain industri runcit disarankan untuk menghasilkan pelbagai produk ‘house brand’ mereka sendiri dalam usaha menyokong secara berterusan Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan sejak tahun 1984.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penghasilan produk ‘house brand’ ini mampu memberi pilihan terbaik dengan penjimatan sehingga 20 peratus kepada pengguna dalam membeli barangan keperluan.

Katanya, harga produk ‘house brand’ yang jauh lebih murah berbanding jenama lain, akan menjadi pilihan pengguna dan secara tidak langsung, mereka turut menyokong membeli barangan buatan Malaysia.

SAIFUDDIN Nasution (kiri) melihat produk barangan Malaysia yang ditawarkan di Econsave selepas Majlis Kempen Beli Barangan Malaysia. Turut bersama Pengarah Urusan Econsave, Mas Imran Adam (dua kanan). NSTP/Rosela Ismail

BARANG keperluan asas daging ayam segar di Econsave. NSTP/Rosela Ismail

“Penghasilan produk ‘house brand’ ini adalah satu idea yang sangat baik kerana mereka tidak perlu terlalu fokus berbelanja untuk pengiklanan dan tidak timbul masalah pemulangan semula produk. Jadi ini yang menjadi faktor kepada penurunan harga.

“Justeru KPDNHEP menyasarkan peningkatan kira-kira 60 peratus kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membeli barang buatan Malaysia, ini kerana kali terakhir kajian impak dilakukan mengenai kempen ini ialah pada tahun 2014 dengan hanya 42 peratus saja kesedaran dicapai.

“Ditambah dengan pelbagai saluran penjualan yang begitu agresif secara dalam talian atau secara fizikal, tidak mustahil sasaran itu dicapai,” katanya ketika merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia di peringkat Pasar raya Econsave, dekat sini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Mas Imran Adam. Pada majlis berkenaan, Saifuddin turut melakukan tinjauan harga beberapa barangan keperluan di pasar raya berkenaan.

Sementara itu, Mas Imran berkata, menerusi kempen ini, sebanyak 1,000 unit simpanan stok terutamanya produk makanan di pasar raya berkenaan dikurangkan harga antara lima hingga 20 peratus.

“Ini antara usaha kami dalam menyokong apa saja yang dilaksanakan oleh kerajaan dan berharap pengguna akan mengambil peluang ini.

“Yang penting carilah produk yang memiliki tanda hijau kerana ia menunjukkan barangan buatan Malaysia,” katanya.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 74 pasar raya Econsave di seluruh negara yang terbabit dalam Kempen Beli Barangan Malaysia.

Tinggalkan komen anda