Almari kenangan tanda ingatan


shadow

SUBANG JAYA: Helmet, pakaian seragam, celoreng, jaket kalis api dan but diletakkan dalam almari khas sebagai tanda ingatan abadi buat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Begitu dilakukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dengan meletakkan almari itu di satu sudut bagi mengabadikan memori mereka bersama Allahyarham.

Ketua BBP Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihaknya mengambil inisiatif menggunakan almari yang diletakkan barangan Adib di dalamnya.

“Kami mahu Adib sentiasa diingati oleh setiap warga kerja balai ini. Disebabkan itu, saya mencadangkan membuat tanda peringatan berkenaan menggunakan almari yang diletakkan barang milik arwah mengandungi pakaian seragam dan helmet.

“Malah, sebelum itu saya ada meminta kebenaran daripada keluarga Adib terlebih dulu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Syed Shahril berkata, tanda peringatan itu dibuat bagi membolehkan warga BBP Subang Jaya sentiasa mengingati arwah Adib termasuk pegawai dan anggota baru yang berpindah tugas ke balai berkenaan.

“Mungkin ada antara kami (warga BBP Subang Jaya) yang akan berpindah tugas ke tempat lain, namun kenangan arwah Adib di balai ini tetap akan tersemat dengan adanya tanda peringatan itu.

“Mereka yang berkunjung ke balai bomba ini juga boleh melihat sendiri barang milik arwah yang diletak secara rapi dalam almari itu,” katanya.

Beliau berkata, warga BBP Subang Jaya juga melakukan bacaan Yasin dan tahlil di balai berkenaan, semalam bagi memperingati genap setahun tragedi menimpa arwah Adib.

-myMetro

Tinggalkan komen anda