Anwar tak tahu usul minta Dr Mahathir habiskan penggal


shadow

ANWAR Ibrahim berkata beliau tidak tahu menahu mengenai usul supaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terus berkhidmat sehingga habis penggal.

Menurut presiden PKR itu, jika ada sebarang usul seperti itu mahu dibentangkan di Parlimen, ia harus dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu.

“Tak ada dengar. Kalau ada usul kerajaan, ia mesti dibawa ke Majlis Presiden PH dan kita tak ada mendengar (usul),” katanya kepada pemberita di lobi Parlime hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Port Dickson, berkata sekiranya ada rancangan usul pintu belakang, maka pihak yang terbabit perlu memberi penjelasan.

“Kalau ada usul pintu belakang, kena tanya orang yang terlibat,” kata Anwar.

Terdapat desas-desus bahawa satu usul supaya Dr Mahathir meneruskan perkhidmatan sehingga habis penggal akan dibentangkan pada sidang terakhir Dewan Rakyat 5 Disember ini.

September lalu, Anwar berkata beliau menjangkakan akan mengambil alih tugas perdana menteri pada 2020.

Tekanan supaya Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar semakin kuat sejak Barisan Nasional (BN) menang besarpada pilihan raya kecil Tanjung Piai baru-baru ini. 

Bagaimanapun, Majlis Presiden PH yang bermesyuarat pada minggu lalu memutuskan barisan Kabinet akan dirombak, tetapi tidak menyentuh tentang isu peralihan kuasa.

Tinggalkan komen anda