Azmin dan alasan lapuk 3 batu nautika


shadow

ULASAN| Alhamdulillah pihak kami menyimpulkan inti pati utama ucapan menteri hal ehwal ekonomi menunjukkan secara sah bahawa Kelantan sememangnya layak untuk menerima bayaran tunai (royalti) daripada Petronas sebagaimana yang diperjuangkan oleh seluruh rakyat Kelantan sejak 44 tahun lalu.

Inilah kali pertama pihak kerajaan persekutuan mengeluarkan kenyataan yang amat jelas walaupun masih banyak perkara yang boleh dipertikaikan atau dalam bahasa yang lebih lembut “boleh dibincangkan” lagi.

Sebelum ini sentiasa sahaja perkara ini “dirahsiakan” dan “diputar belit” oleh kerajaan terdahulu.

Terima kasih diucapkan kepada menteri hal ehwal ekonomi atas keikhlasannya mengeluarkan kenyataan tersebut di Dewan Rakyat. Riak wajah segak menteri yang ikhlas semasa ucapan penggulungan tersebut dipuji ramai.

Dimaklumkan perdana menteri juga telah bersetuju untuk menjelaskan bayaran royalti tersebut terus kepada kerajaan negeri Kelantan sebagaimana kehendak perjanjian royalti 9 Mei 1975 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144).

Ini juga boleh dikira sebagai perubahan besar yang akan dilakukan oleh PM ketujuh setelah dinodai perdana menteri keempat dahulu.

Terima kasih perdana menteri dan semoga Allah mengampunkan segala dosa PM keempat yang pernah menzalimi rakyat Kelantan sebelum ini.

Malangnya, alasan yang direka-reka pada zaman rejim terdahulu dikitar semula walaupun ia umpama telur yang busuk.

“Tiga batu nautika” terus dijadikan alasan utama kenapa Kelantan tidak dibayar royalti atau akan dibayar dalam jumlah yang sedikit sahaja.

Istilah “tiga batu nautika” sebenarnya tidak pernah dinyatakan dalam perjanjian royalti antara semua kerajaan negeri dan Petronas.

Akta 144 juga dengan jelas tidak menghadkan jarak kedudukan telaga minyak dalam ukuran batu nautika (NM) atau kilometer (KM). Istilah yang ada dalam kedua-dua dokumen perundangan tersebut adalah onshore (daratan) dan offshore (lautan) semata-mata.

Ordinan kuasa darurat

Ironinya, rekaan alasan tiga batu nautika ini “dipinjam” daripada Ordinan Kuasa Darurat 1960 yang secara spesifiknya merujuk kepada soal pentadbiran keselamatan.

Sekiranya di dalam lingkungan tiga batu nautika, maka soal keselamatan adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan sekiranya melebihi had berkenaan, soal keselamatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Ia langsung tidak merujuk kepada soal had jarak milikan telaga minyak!

Malahan pula, Ordinan Kuasa Darurat ini telah pun dihapuskan sewaktu pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2011.

Bagaimana mungkin Akta yang telah dimatikan boleh terus dikitar semula dan diguna sebagai hujah?

Akta Laut Wilayah 2012

Kerajaan persekutuan kemudiannya memperkenalkan satu akta baharu yang turut memasukkan peruntukan tiga batu nautika ini yang dikenali sebagai Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).

Akta yang diluluskan pada April 2012 ini dengan jelas berhasrat untuk menghadkan sempadan laut atau perairan negeri-negeri kepada hanya tiga batu nautika.

Ini turut bermaksud milikan ke atas pelantar benua yang sebelum ini menjadi milikan negeri akan bertukar kepada kerajaan persekutuan.

Menurut Perlembagaan Malaysia, sekiranya mana-mana Akta Persekutuan yang melibatkan sempadan negeri dan pengurangan kuasa Negeri, akta tersebut memerlukan persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Raja-raja.

Ini boleh dirujuk dalam Perkara 2 Perlembagaan Malaysia.

“Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan. Parlimen boleh melalui undang-undang;

a) menerima masuk negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan;

b) mengubah sempadan mana-mana negeri, tetapi undang-undang yang mengubah sempadan negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan negeri itu) dan Majlis Raja-raja.”

Dua perkara yang mungkin tidak dihebohkan sebelum ini adalah soal Akta 750 yang mana sekiranya dikuatkuasakan, akan turut memindahkan hak negeri-negeri kepada kerajaan persekutuan dari sudut milikan tanah.

Tanah adalah termasuk “tanah di bawah air” seperti didefinasikan oleh Kanun Tanah Negara.

Hak kuasa perlombongan termasuk permit, lesen cari gali, pajakan lombong, perakuan (kelulusan) melombong dan lain-lain lagi adalah juga kuasa kerajaan negeri yang telah diberikan oleh Perlembagaan Malaysia di bawah Jadual Kesembilan, Perkara 2 (A) dan (C).

Akta Laut Wilayah 2012 ini telah merampas hak negeri-negeri seperti yang tertera di bawah Seksyen 4 Akta ini;

“Kedaulatan berkenaan dengan laut wilayah, dan berkenaan dengan dasarnya dan tanah bawahnya, terletak hak pada dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai hak Malaysia.”

Kenapa kerajaan persekutuan memasukkan dasar laut dan tanah di bawahnya? Jawapannya adalah jelas lagi bersuluh kerana mereka sedar minyak, gas, kondensat dan pelbagai mineral bukan berada dalam air laut tetapi dalam tanah atau bumi di bawah laut, seperti yang terkandung dalam Akta Pelantar Benua sebelum ini.

Pada 5 November 2015 DUN Kelantan telah meluluskan usul untuk menolak Akta Laut Wilayah 2012. DUN Sabah juga telah menolak Akta 750.

Natijahnya, Akta 750 tersebut tidak boleh dikuatkuasakan di Kelantan dan Sabah. Sehubungan dengan itu, alasan lapuk tiga batu nautika adalah tertolak dan amat memalukan sekiranya dikitar semula oleh kerajaan PH pada hari ini.

Pihak kami juga menyeru agar semua pimpinan dan rakyat di negeri-negeri lain membuka mata tentang kesan yang amat besar sekiranya Akta 750 yang telah diluluskan di parlimen tersebut dikuatkuasakan di negeri masing-masing.

Langkah menolak Akta tersebut sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh DUN Kelantan dan Sabah amat wajar diikuti. Ia bukan sahaja amat penting untuk negeri-negeri pengeluar minyak sekarang, mungkin suatu masa nanti telaga-telaga minyak akan turut dijumpai di perairan negeri-negeri lain.

Ketika itulah anda semua akan membuka mata, namun ianya telah terlambat dan akan berputih mata untuk selama-lamanya

Sebenarnya tidak pernah wujud walau satu telaga minyak pun di perairan Semenanjung Malaysia dalam lingkungan tiga batu nautika atau lebih senang difahami jaraknya bersamaan dengan 5.556 kilometer.

Tidak pernah kedengaran nelayan pesisir pantai yang terlanggar pelantar minyak atau dihalang daripada menangkap ikan lantaran terlalu hampir (yang hanya 5.556km dari daratan) dengan kawasan pelantar minyak tersebut.

Sungguhpun begitu, kenapa Terengganu, Sabah dan Sarawak tetap dibayar royalti walaupun telaga minyaknya berada di luar lingkungan tiga batu nautika?

Kami ingin memberikan nasihat kepada menteri atau sesiapa sahaja, cukup-cukuplah merekayasa alasan kurang cerdik dan bodoh untuk mengaburi mata rakyat Kelantan yang tidak kurang hebat daripada segi penguasaan ilmu pengetahuan.

Jumlah royalti lebih tinggi

Sudah semestinya alasan lapuk tiga batu nautika ini apabila tidak dijadikan hujah, jumlah bayaran royalti yang akan diumumkan oleh menteri hal ehwal ekonomi atau perdana menteri untuk Kelantan akan jauh bezanya umpama langit dan bumi berbanding jumlah yang telah diumumkan kerana berdasarkan kiraan dari dua telaga tersebut sahaja.

Pihak kami amat yakin semakin hari semakin banyak fakta dikeluarkan dan diakui oleh pihak kerajaan persekutuan seterusnya mengesahkan bahawa kelantan patut menerima bayaran tunai dalam jumlah yang amat tinggi.

Buat masa ini kami masih lagi menaruh harapan yang tinggi agar kerajaan PH akan melunaskan segala tuntutan rakyat Kelantan, Insya-Allah biiznillah.

Tulisan dalam siri-siri seterusnya akan cuba mengulas dan menjawab beberapa perkara yang turut disentuh oleh menteri hal ehwal ekonomi iaitu kenapa hanya dua telaga dan bukan sepuluh telaga, soal sempadan Kelantan-Terengganu dan lain-lain lagi.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda