Bayaran secara e-wallet di klinik kesihatan


shadow

KEMENTERIAN Kesihatan mengambil inisiatif melaksanakan kaedah pembayaran perkhidmatan perubatan di klinik kesihatan melalui penggunaan e-wallet (Boost) bagi menyahut seruan kerajaan dalam mewujudkan masyarakat tanpa tunai di Malaysia.

Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelaksanaan bayaran perkhidmatan tanpa tunai itu bertujuan mempelbagaikan kaedah bayaran serta menambah baik penyampaian perkhidmatan kaunter sekali gus membudayakan kerajaan pintar.

“KKM (Kementerian Kesihatan) adalah kementerian pertama yang menggunakan perkhidmatan ini melalui projek kesihatan digital.

“Platform bayaran tanpa tunai ini bukan sahaja akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pesakit, tetapi dapat mengurangkan masa menunggu, iaitu masalah utama sentiasa dihadapi (pesakit),” katanya pada sidang media selepas melancarkan pelaksanaan E-Wallet (Boost) di Klinik Kesihatan Cheras, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Dr Chen Chaw Min.

Dr Dzulkefly berkata penggunaan e-wallet (Boost) ini telah diadakan secara rintis di empat klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Cheras, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Klinik Kesihatan Presint 18 Putrajaya dan Klinik Kesihatan Seremban sejak September lepas.

“Kita sedang dalam perancangan walaupun ambil sedikit waktu, dalam setahun dua ini, kita nak kembangkan dan laksana di seluruh negara selama mana fasiliti kita mempunyai talian internet dan pesakit masih menggunakan telefon bimbit.

“(Dengan itu), di mana pun kita boleh laksanakan pembayaran tanpa tunai ini,” katanya.

Penggunaan e-wallet (Boost) ini dilaksana dengan kerjasama Axiata Digital Ecode Sdn Bhd dan RHB Islamic Bank Berhad.

Tinggalkan komen anda