Jangan musuhi penjawat awam, kata Daim


shadow

MENTERI-MENTERI perlu bekerjasama dengan perkhidmatan awam dan tidak memusuhi mereka, kata bekas menteri kewangan Daim Zainuddin hari ini.

Beliau berkata terdapat “jurang” antara ahli politik dan penjawat awam.

“Malangnya ada jurang antara ahli politik dan penjawat awam,” katanya di forum Asian Institute & Leadership (Asli) mengenai “Kemiskinan di Malaysia: Realiti vs Persepsi “.

Beliau berkata ahli politik harus berusaha untuk bekerja dengan kakitangan awam kerana mereka yang melaksanakan dasar dan rancangan.

“Sekiranya anda memusuhi dan tidak mempercayai, mereka akan berkata ‘anda tak percaya saya, jangan datang kepada saya’,” katanya.

Dakwaan sabotaj dalam perkhidmatan awam dibuat baru-baru ini dalam kes kontrak pembekalan baja ke industri penanaman padi. 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata pemberian kontrak kepada syarikat selepas tender terbuka telah dibuat tanpa pengetahuan menteri.

Isu tercetus apabila Salahuddin dikritik pembangkang kerana menulis surat berhubung rundingan terus bagi kontrak projek Nafas kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Salahuddin berkata tiada kontrak diberi dan Kementerian Kewangan akan membuat keputusan akhir mengenai tender berkenaan.

Sebelum ini beberapa menteri mendakwa “daulah terpendam” ada dalam perkhidmatan awam untuk mensabotaj kerajaan.

Daim yang juga Pengerusi Majlis Orang Kenamaan berkata kementerian boleh lebih cekap jika mereka menjalankan seperti perniagaan.

Untuk melakukan ini kementerian perlu merancang lebih baik.

“Kuncinya adalah perancangan.

“Kegagalan untuk merancang adalah berbahaya kerana ia akan menyebabkan pembaziran dan pusingan U oleh kerajaan,” katanya.

Sebagai contoh Daim berkata pada masa lalu Perbendaharaan yang berada di bawah Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah bekerja dengan baik walaupun berada di bawah bidang kuasa badan yang berlainan. 

Tinggalkan komen anda