Kadar inflasi di bawah SST lebih rendah berbanding GST


shadow

KADAR inflasi bagi barangan dan perkhidmatan terutamanya harga makanan berkurangan sejak cukai barang dan perkhidmatan (GST) dihapuskan dan diganti dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata purata kadar inflasi antara Disember 2017 hingga Mei 2018, enam bulan sebelum GST dimansuhkan, adalah kira-kira 2%.

Sebagai perbandingan, purata kadar inflasi antara September 2018 hingga Feb 2019, enam bulan selepas SST diperkenalkan, berlegar antara sifar hingga 1%, kata Chong kepada Dewan Rakyat.

“Dari sini kita dapati inflasi lebih terkawal dan rendah selepas sistem SST diperkenalkan berbanding sistem cukai terdahulu ketika GST dikenakan,” kata Chong ketika menjawab soalan daripada Rubiah Wang (Kota Samarahan-GPS).

Beberapa langkah diambil untuk mengelakkan kenaikan inflasi sebaik sahaja sistem subsidi petrol bersasar kerajaan dimulakan tahun depan, katanya.

Di bawah sistem ini, kerajaan tidak akan lagi memberi subsidi bahan bakar untuk petrol kepada semua dan bantuan itu hanya akan disalurkan secara langsung kepada isi rumah berpendapatan sederhana rendah dan rendah.

Subsidi RM30 sebulan akan diberikan kepada isi rumah yang layak bagi mengimbangi kenaikan harga RON95 di Semenanjung.

RON 95 kini dihadkan pada RM2.08 seliter tetapi tahun depan, ia akan dinaikkan sama seperti petrol RON97.

Chong berkata harga RON95 akan dinaikkan secara beransur-ansur supaya tidak mengejutkan pasaran manakala pegawai kementerian akan ditempatkan untuk menghentikan kenaikan harga.

“Kami sedang memuktamadkan kajian rantaian bekalan untuk sayur-sayuran dan ikan bagi mengenal pasti orang tengah yang menyebabkan harga melambung.”

Pada masa yang sama, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyemak semula sistem permit (AP) yang diluluskan untuk menghapuskan kartel dalam perniagaan import makanan yang boleh memacu harga.

Tinggalkan komen anda