Keluarga tidak restu filem Dr Mahathir, Siti Hasmah, kata Marina


shadow

MARINA Mahathir membayangkan pihak keluarganya tidak memberi restu kepada pembikinan dua filem cereka mengenai ayah dan ibunya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dalam beberapa tweet malam tadi, Marina berkata keluarga merasakan kisah mereka tidak perlu dibuat filem atau apa karya seni persembahan lain pun.

“Keluarga saya lebih suka tiada siapa pun membuat filem, filem biografi, muzikal, kartun, atau apa pun tentang kami. Sebabnya, ia hanya memalukan.

“Tetapi kalau perlu buat juga, jangan paksa kami menontonnya,” tulis Marina di Twitter malam tadi.

Beliau juga menjelaskan filem cereka tidak sama dengan dokumentari, merujuk pada M for Malaysia yang ditayangkan di pawagam sempena Hari Malaysia dan sekarang ditayang di Astro First.

Dokumentari itu mengisahkan Pilihan Raya Umum ke-14 yang membawa kepada peralihan kerajaan yang pertama dalam sejarah Malaysia, dengan fokus wataknya pada Dr Mahathir.

Marina yang dihubungi The Malaysian Insight bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya malas nak jawab. Hanya kami sekeluarga tidak menggalak filem-filem seperti ini,” katanya dalam satu mesej melalui WhatsApp.

Marina mengulas laporan The Star semalam mengenai filem Mahathir: The Journey yang akan memulakan penggambaran pada 15 Disember ini.

Dalam laporan itu, pengarahnya Hatta Azad Khan dipetik berkata filem tersebut mendapat “persetujuan 100% daripada pejabat PM (perdana menteri)”.

“Kita rancang untuk tayang Mahathir: The Journey pada Julai tahun depan, dekat dengan hari jadi Dr Mahathir yang ke-95,” katanya.

Filem itu mengisahkan tempoh Dr Mahathir selepas bersara pada 2003 dan perjalanan politik yang menghantarnya sekali lagi jadi perdana menteri pada 2018.

Selain filem ini, sebuah lagi filem juga dalam perancangan, bertajuk Hasmah: Bila Deh Bertemu Det, yang mengisahkan percintaan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

Filem ini dipercayai mendapat perkenan Finas kerana pra pelancarannya dilakukan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith serta dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Dalam siri tweetnya malam tadi, Marina berkata pihak keluarga tidak merestui kedua-dua filem itu.

Beliau juga membayangkan filem yang dibikin nanti belum tentu tepat dari segi fakta selain tiada sebarang masukan maklumat baharu daripada pihak keluarga.

“Pelik, ada banyak subjek lain yang lebih layak untuk difilemkan,” tulisnya dalam satu tweet lain.

Seorang pengikutnya Zulhaimi Wahid (@zulhaimiwahid) kemudian bertanya adakah teater muzikal yang pernah dipentaskan di Istana Budaya sebelum ini juga tidak mendapat restu.

Marina menjawab: “Tidak daripada saya. ‘Restu’ biasanya membawa maksud malas nak bantah, ada banyak benda lain lebih penting untuk fikir.”

Istana Budaya mementaskan teater Muzikal Tun Mahathir pada September 2010, yang turut ditonton oleh Dr Siti Hasmah. Media melaporkan teater muzikal itu dipentaskan kali kedua pada Januari 2011 atas permintaan Dr Mahathir yang tidak sempat menontonnya semasa pementasan kali pertama.

Pada tahun berikutnya, Istana Budaya mementaskan pula teater Tun Siti Hasmah, yang juga dihadiri oleh isteri perdana menteri pada malam pembukaannya. Dr Siti Hasmah juga hadir beramah mesra dengan pelakon teater beberapa jam sebelum pementasan pertama.

Media ketika itu melaporkan Dr Siti Hasmah memuji teater itu yang katanya “kerja yang dilakukan dengan baik”. 

Tinggalkan komen anda