Kementerian Wilayah anjur seminar basmi miskin bandar


shadow

SEMINAR Membasmi Kemiskinan Bandar akan diadakan pada 5 Disember ini bagi menggariskan pelan tindakan menyeluruh dan berkesan dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar di Wilayah Persekutuan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

Seminar sehari di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya itu mengumpulkan wakil pelbagai kementerian, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan pakar sosioekonomi yang melibatkan pembentangan 16 kertas kerja bagi mengatasi isu kemiskinan bandar, katanya.

“Ia merupakan langkah pertama dalam mencari penyelesaian kepada masalah kemiskinan bandar yang wujud sejak berpuluh tahun,” katanya dalam sidang media mengenai seminar itu di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan data e-kasih, lebih 4,000 ketua isi rumah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar, yang 1,300 daripadanya miskin tegar manakala 3,000 lagi golongan miskin, katanya yang tidak menolak kemungkinan bilangan sebenar adalah lebih tinggi.

Khalid berkata kajian akan dijalankan susulan seminar itu dan dijangka mengambil masa lapan bulan sebelum pendekatan baharu bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar dapat digariskan.

Khalid berkata pembentang kertas kerja pada seminar itu adalah wakil dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Turut akan membentangkan kertas kerja ialah Tokoh Wartawan Negara 2018, Johan Jaaffar; Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri; bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Ahmad Phesal Talib dan bekas ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi Sulaiman Mahboob.

Seminar Membasmi Kemiskinan itu dianjurkan Yayasan Salam Malaysia dan Yayasan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Salam Malaysia Ahmad A.Talib berkata Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar itu turut melibatkan pameran oleh 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai usaha yang dilakukan dalam mengatasi masalah tersebut.

Turut dipamerkan ialah kisah from zero to hero iaitu kejayaan beberapa individu yang sebelum ini tergolong dalam kumpulan miskin bandar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat korporat, katanya.

Tinggalkan komen anda