Polis kenal pasti 2 individu bawa pulang abu mayat Chin Peng


shadow

POLIS mengenal pasti dua individu yang terlibat dalam urusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke Malaysia.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata kedua-dua individu tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan namun tidak mendedahkan sama ada mereka hadir atau belum.

“Apabila kita mendapat jawapan kepada semua ini, peguam negara akan memutuskan sama ada terdapat sebarang kesalahan.

“Sehubungan itu, saya minta semua pihak bersabar dan menggunakan kewarasan dalam isu ini. Polis Diraja Malaysia akan menyiasat dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya di Bangkok hari ini.

Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lepas dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng, yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 2013 ketika berusia 89 tahun.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Tinggalkan komen anda