Polis siasat kes Jalur Gemilang dengan bintang bucu lima


shadow

POLIS memanggil presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) untuk menjelaskan insiden paparan bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima dalam satu kejohanan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, Presiden Maba Lua Choon Hann yang hadir memberi keterangan berkata insiden itu berpunca daripada kesilapan kontraktor.

Oleh itu, polis akan memanggil kontraktor teknologi maklumat terbabit untuk mengetahui motif sebenar sama ada perkara itu disengajakan, kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.

“Beliau memaklumkan kejadian itu bukan daripada pihaknya, sebaliknya daripada kontraktor teknologi maklumat. 

“Siasatan turut dijalankan sama ada ia kejadian tidak disengajakan atau sebaliknya. Polis menasihatkan penganjur setiap acara memeriksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian sebegini tidak berlaku,” katanya.

Katanya, Maba sudahpun memohon maaf atas kejadian terbabit membuat laporkan polis berkenaan tindakan kontraktor berkenaan.

Dalam kenyataan di laman webnya, Maba memohon maaf kerana memaparkan gambar imej bendera yang silap semasa upacara pembukaan Piala Lum Mun Chak Maba, semalam.

“Kami minta maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan ini,” kenyataan itu dipetik.

Dalam kenyataan di Facebook pula, Maba menjelaskan kesilapan itu dilakukan krew siaran langsung yang memaparkan bendera dengan bintang berbucu lima pada skrin besar semasa upacara itu.

Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima itu dipaparkan menerusi klip video bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku.

Rakaman video insiden itu tular di media sosial sejak malam tadi yang mengundang kecaman dan desakan supaya penganjur dikenakan tindakan.

Pada masa sama, Maba turut menegaskan kesungguhan mereka membangun dan memajukan lagi sukan bola keranjang di negara ini.

Kejohanan itu berlangsung di Stadium Bola Keranjang, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, semalam.

Tinggalkan komen anda