Saya beri Ahmad Zahid RM2 juta: Pengarah syarikat


shadow

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat pemprosesan visa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima RM2 juta sebagai rasuah daripadanya untuk membolehkan syarikatnya dilantik mengendalikan perkhidmatan One Stop Centre (OSC) visa di Nepal dan Pakistan.

Pengarah Profound Radiance Sdn Bhd (PRSB) Azlan Shah Jaffril, 48, berkata demikian semasa menjawab pertanyaan peguam Datuk R.S. Sodhi semasa pemeriksaan balas dalam saman sivil yang dibawa oleh bekas pengarah PRSB, Nor Rosnani Ibrahim sebagai plaintif, terhadap Azlan Shah dan syarikatnya PRSB, sebagai defendan, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ong Chee Kwan.

Sodhi: Tiga tuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid berkait dengan rasuah RM2 juta daripada kamu?

Azlan Shah: Ya, itu yang beliau (Ahmad Zahid) hadapi (pertuduhan).

Azlan Shah juga memberitahu mahkamah bahawa beliau akan menjadi saksi pendakwaan dalam kes rasuah Ahmad Zahid yang sedang dibicarakan.

Kepada soalan Sodhi, yang mewakili Nor Rosnani, mengenai sebab defendan pertama (Azlan Shah) memberikan wang daripada PRSB kepada ‘Masjid Tapah’, Azlan Shah berkata beliau menderma wang kepada sebuah masjid setiap bulan, yang didakwa sebagai bayaran kepada “pegawai” di Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk membantu syarikat itu mendapatkan kembali kontrak untuk OSC.

“Saya ada mendapatkan bantuan daripada pegawai di PMO selepas kontrak itu ditamatkan… tetapi mereka berkata, ‘kami tidak mahu wang daripada kamu, dermalah kepada masjid ini setiap bulan,” katanya.

Sementara itu, Azlan Shah dalam kenyataan saksinya berkata Kementerian Dalam Negeri telah membatalkan kontrak PRSB pada 11 November 2015.

“Alasannya ialah Ahmad Zahid, Menteri Dalam Negeri ketika itu, tidak gembira dengan individu di sebalik PRSB dan beliau memaklumkan kepada saya tentang perkara ini apabila saya berjumpa dengannya,” katanya, sambil menambah selepas kontrak itu dibatalkan, beliau terus terlibat dengan kementerian atas inisiatifnya sendiri.

“Saya juga meyakinkan beliau (Ahmad Zahid) bahawa sebenarnya syarikat itu saya miliki 75 peratus dan bukan oleh pihak lain lagi,” katanya, sambil menambah bahawa syarikat itu telah diberikan kontrak untuk memproses penghantaran balik secara sukarela pekerja asing dan aplikasi OSC untuk Nepal dan Pakistan pada pertengahan 2016 selepas beberapa siri rundingan.

Dalam saman yang difailkan pada 8 Mei tahun ini, Nor Rosnani, 43, mendakwa Azlan Shah melanggar perjanjian itu dan meminta defendan pertama memindahkan semula 30 peratus saham dalam PRSB kepada plaintif.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Nor Rosnani menuntut Azlan Shah memindahkan semula 30 peratus saham kepadanya selepas beliau (Azlan Shah) menyelesaikan satu masalah yang berkaitan dengan operasi PRSB di Dhaka, Bangladesh.

Nor Rosnani juga mendakwa Azlan Shah enggan mengagihkan perolehan daripada operasi PRSB kepada para pemegang saham, termasuk plaintif, mengikut pegangan masing-masing.

Perbicaraan bersambung pada Jumaat. – Bernama

Tinggalkan komen anda