Terserah Pemuda PKR panggil siapa rasmi kongres, kata Saifuddin


shadow

PKR menyerahkan kepada sayap pemuda parti itu untuk mengundang pemimpin disukai bagi merasmikan kongresnya bulan depan, kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata beliau tidak terlibat dalam memilih pemimpin yang akan merasmikan serta memberi ucapan dalam kongres Pemuda PKR itu.

“Nama pun kongres Pemuda, maka Pemuda lah yang tentukan siapa yang mereka hendak jemput.

“Kiranya tiada kaitan dengan saya dan tidak termasuk dalam skop kerja setiausaha agung,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insight.

Isu itu menjadi perhatian kerana sayap berkenaan nampak tidak berminat mengundang timbalan presiden sebagaimana kelaziman dalam parti berusia lebih 20 tahun itu.

Keputusan itu didakwa bertujuan “menghantar mesej” kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang didakwa kerap membuat kenyataan membelakangkan parti.

Azmin antara lain meraih kontroversi kerana mencadangkan agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga habis mandat penggal pentadbiran.

Saranan itu bertentangan dengan pelan peralihan kuasa untuk Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil alih dalam masa dua tahun

Sebab itulah sayap Pemuda dilaporkan akan menjemput bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri ke pentas bagi tujuan itu.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Azmin pada minggu lalu berkata isu mengenai jemputan berkenaan sepatutnya diajukan kepada setiausaha agung.

Namun Saifuddin menegaskan, jemputan tersebut bukan tanggungjawabnya dan tidak termasuk dalam skop kerjanya.

“Ada khilaf di situ kenapa Azmin suruh tanya saya, sebab saya tak uruskan jemputan siapa yang patut datang pada kongres tersebut.

“Sebab pemuda dan wanita adalah sayap parti. Jadi mereka bebas memilih siapa yang patut dijemput untuk merasmikan kongres tersebut, bukan saya,” kata Saifuddin.

Tinggalkan komen anda