‘Tolonglah pulangkan beg saya’


shadow

PESARA tentera dari Sungai Udang, Melaka sanggup berulang-alik sejauh kira-kira 40 kilometer sejak semalam ke Masjid Al-Azim di Bukit Palah untuk mengesan beg sandangnya yang hilang di Pusat Islam pada sejak Sabtu lalu.

Tiada apa yang diharapkan Idris Jaafar, 56, selain beg miliknya itu ditemui semula kerana mengandungi dokumen penting seperti cukai jalan, lesen memandu, maklumat perniagaan, telefon bimbit serta tiga bentuk cincin.

Menurutnya, dia amat berharap sekiranya sesiapa ada terambil atau menjumpai dapat memulangkan semula kepadanya.

Katanya, beg berkenaan hilang pada 11. 30 pagi selepas perarakan dan sambutan Maulidur Rasul pada Sabtu lalu dan dia hanya menyedarinya sebelum menunaikan solat Zuhur di masjid berkenaan.

“Kali terakhir saya memegangnya ketika berhenti di khemah jualan baju sebelum meletakkan di atas pakaian untuk seketika.

“Selepas memilih baju, saya berlalu pergi dan terlupa mengambil beg berkenaan,” katanya.

Idris berkata, dia bergegas ke khemah jualan berkenaan selepas menunaikan solat dan bertanyakan kepada peniaga di situ tetapi mereka tidak menjumpainya.

“Harapan saya hanya satu agar individu yang menjumpai dapat memulangkannya semula.

“Saya amat sedih kerana di dalam telefon bimbit berkenaan tersimpan gambar kenangan ketika menunaikan umrah bersama isteri.

“Tidak tahu bila lagi saya akan dapat menjejak kaki sana,” katanya yang sudah membuat laporan kehilangan beg sandangnya di Polis Bandar Hilir pada petang kejadian.

-myMetro

Tinggalkan komen anda